'Doktor gagal kesan denyutan jantung twin A, twin B berpusing dalam rahim', ibu kongsi detik cemas ketika bersalin kembar


  • Bonda
  • Isnin, 08 Sep 2025

Seorang ibu berkongsi pengalaman mendebarkan sepanjang proses kehamilan hingga ke bilik bersalin. — Gambar Hiasan

BAGI kebanyakan ibu, pengalaman melahirkan anak kembar sering dikaitkan dengan risiko tinggi dan kebarangkalian untuk melalui pembedahan caesarean. 

Namun, seorang ibu, dikenali sebagai Arissaa membuktikan bahawa dengan kekuatan mental, sokongan keluarga dan izin ALLAH, beliau berjaya melahirkan sepasang kembar lelaki secara normal di sebuah hospital kerajaan, hanya tiga bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 dilaksanakan.

Dalam satu hantaran di laman Threads, Arissaa berkongsi detik penuh cabaran, lucu dan mendebarkan sepanjang proses kehamilan hingga ke bilik bersalin.

BACA LAGI: 'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami

BACA LAGI: [VIDEO] Pengorbanan mencari rezeki, ibu terpaksa minta polis jaga anak demi tugas menghantar makanan

Kandungan risiko tinggi

Pada usia kandungan 28 minggu, doktor mengesahkan kehamilannya berisiko apabila Twin A mengalami masalah tumbesaran tidak seimbang berbanding kembarnya, Twin B. Twin A hanya seberat 600 gram manakala Twin B pula sudah mencecah 950 gram.

“Memang saya menangis masa itu. Tapi saya yakin dengan kuasa ALLAH. Saya pegang kata-kata ibu mentua agar jangan putus asa dan percaya perancangan ALLAH,” katanya.

Ketika kandungan mencecah 36 minggu, Arissaa diminta dimasukkan ke wad dan induksi.

Menurutnya, suasana ketika itu cukup mencuit hati kerana beliau kelihatan terlalu tenang berbanding ibu-ibu lain.

“Misi (jururawat) siap gelak, kata saya macam datang shopping sebab rileks sangat,” katanya.

Namun, proses bersalin tidak semudah disangka. Dua lagi ibu kembar yang sama-sama diinduksi terpaksa melalui pembedahan caesarean, manakala Arissaa tetap menanti saat kelahiran dengan penuh sabar walaupun kontraksi semakin kuat.

Detik paling mencemaskan berlaku apabila doktor tiba-tiba gagal mengesan denyutan jantung Twin A di mesin CTG.

Pemeriksaan lanjut mendapati kepala bayi sudah hampir keluar. Dalam keadaan penuh panik, doktor dan jururawat segera bersedia menyambut kelahiran.

“Lucunya, doktor praktikal yang nervous sempat tersilap guna remote aircond masa nak naikkan katil. Saya pun tergelak walaupun tengah sakit,” ceritanya.

Akhirnya, pada jam 3.56 petang, Twin A selamat dilahirkan seberat 2. 5 kilogram.

 Tidak lama kemudian, tiba giliran Twin B, namun bayi itu sempat berpusing di dalam rahim, menyebabkan doktor bimbang beliau perlu menjalani pembedahan caesarean.

Mujur selepas ditekan perlahan pada bahagian perut, Twin B kembali ke posisi betul untuk lahir secara normal dan akhirnya keluar dengan berat 2.7 kilogram.

Kedua-duanya sihat, meskipun proses kelahiran berlangsung di hadapan sekumpulan doktor praktikal yang hadir untuk menyaksikan kelahiran kembar normal yang jarang berlaku.

Cabaran selepas bersalin

Meskipun kelihatan tenang, keadaan Arissaa selepas bersalin agak membimbangkan apabila tahap hemoglobinnya turun mendadak kepada 6.2.

Namun, beliau tetap gagah menguruskan bayi kembarnya sendirian di wad kerajaan tanpa peneman.

“Perit memang perit, tapi saya bersyukur sebab dapat jururawat yang baik-baik masa itu. Alhamdulillah, semua selamat,” katanya.

Kisah dikongsikan Arissaa bukan sahaja memberi gambaran realiti seorang ibu melalui kehamilan berisiko tinggi, tetapi juga menjadi inspirasi kepada wanita lain agar tidak mudah berputus asa, percaya pada takdir ALLAH dan menghargai sokongan keluarga.

"Part HB rendah tu samalah dengan saya lepas bersalin kembar. Jururawat dengan doktor asyik tegur pucatnya muka tapi kita steady je," kata Teha

"Twins edisi raya 2026 insya-ALLAH. Tapi biasa twins mesti awal kan keluar, doakan saya," kata Farahnasharudin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram