
FENOMENA bulu mata semula jadi atau ghost lashes kini menjadi trend baharu yang menggantikan penggunaan bulu mata palsu tebal.
Bulu mata jenis ini memberi kesan natural dan lembut, seakan-akan gaya yang popular dalam video muzik era 1990-an.
Trend ini telah mendapat perhatian selebriti antarabangsa seperti Hailey Bieber, Dua Lipa, Pamela Anderson dan Athiya Shetty pada pelbagai acara, menandakan kebangkitan semula gaya 90-an di mana solekan menekankan bulu mata yang natural berbanding penggunaan maskara tebal.
BACA LAGI: Hormat sensitiviti ibu kandung anak tiri antara 5 tip kekal bahagia wanita kahwin duda — Pakar
Pengarah Global Seni Solekan Pixi Beauty, Amanda Bell berkata, ghost lashes diinspirasikan daripada kecantikan minimalis dengan sentuhan grunge era 1990-an.
"Kebangkitan trend ini menunjukkan bahawa ramai kini lebih memilih gaya yang artistik dan bernuansa, berbanding glamor berlebihan yang biasa dilihat sebelum ini," katanya.
Apa itu ghost lashes?
Ghost lashes ialah bulu mata ringan dan hampir tidak kelihatan, tetapi mampu memberi kesan definisi lembut pada mata.
Berbeza dengan bulu mata palsu tebal atau lapisan maskara berat, ghost lashes menumpukan pada pemisahan bulu mata, pewarnaan lembut, dan kesan bulu semula jadi.
Jurusolek selebriti dan pakar gaya rambut, Nishi Singh menjelaskan, meskipun ia kelihatan hampir tidak kelihatan, bulu mata jenis ini masih boleh menyerlahkan bentuk mata secara natural.
Efek ini sering digambarkan sebagai 'tanpa maskara tetapi mata tetap menonjol'.
Gaya Clean Girl, perubahan dalam dunia kecantikan
Sebelum ini, solekan bulu mata menekankan volume, panjang dan glamor yang keterlaluan.
Bulu mata palsu tebal, extension dan lapisan maskara digunakan untuk menyerlahkan mata, terutama dalam majalah fesyen dan siaran televisyen.
Ghost lashes kini menandakan perubahan ketara dengan menampilkan bulu mata lembut, berbulu halus dan kelihatan semula jadi tanpa usaha berlebihan.
Pakar Dermatologi, Dr. Noopur Jain berkata, trend ini mencerminkan peralihan daripada penampilan berani kepada gaya minimalis dan halus.
Rutin kecantikan kini lebih menekankan pada keanggunan semula jadi, keselesaan dan pendekatan mesra kulit.
Wanita kini lebih mengutamakan penampilan yang memperlihatkan keunikan diri dan solekan dilihat sebagai alat untuk menyerlahkan, bukan menutupi ciri semula jadi.
Trend ghost lashes juga selari dengan estetika clean girl, yang menekankan kulit sihat, kening lembut berbulu dan bibir semula jadi.
Gaya ini mengambil inspirasi daripada pendekatan Eropah dan K-beauty yang menekankan keindahan halus dan tidak berlebihan.
Dengan 'ghost lashes', mata kelihatan lebih terbuka dan menonjol secara semula jadi. — Agensi
Tip ghost lashes sempurna
Walaupun ghost lashes bersifat semula jadi, penampilan ini boleh dipertingkatkan dengan beberapa langkah mudah seperti berikut:
1. Pastikan bulu mata dibentuk dengan baik
Tanpa maskara tebal, bulu mata yang dibentuk rapi akan menghasilkan lengkungan semula jadi dan menjadikan mata tampak lebih terbuka.
2. Pilih maskara atau gel yang sesuai
Gunakan gel jelas atau maskara coklat untuk kesan lembut.
Elakkan maskara hitam tebal yang boleh menghilangkan efek natural.
Sapukan satu lapisan nipis dari akar ke hujung dan buang lebihan maskara dari berus menggunakan tisu.
3. Pisahkan bulu mata
Gunakan spoolie bersih untuk memisahkan bulu mata satu persatu bagi menghasilkan efek berbulu halus dan lebih semula jadi.
Jika mahu mata lebih menyerlah tanpa menggunakan bulu mata tebal, sapukan garis nipis eyeliner coklat atau hitam di akar bulu mata.
Langkah tersebut menambah definisi tetapi tetap mengekalkan penampilan natural.
Padankan ghost lashes dengan kulit dewy, kening lembut dan bibir berkilat. Penampilan ini menyerlahkan gaya ala majalah fesyen tetapi tetap mudah digayakan dalam kehidupan harian.
Trend ini menekankan keanggunan effortless dan minimalis, sesuai untuk mereka yang ingin menyerlahkan kecantikan semula jadi tanpa kelihatan berlebihan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram