
SETIAP pasangan mempunyai cara tersendiri untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Baru-baru ini, seorang wanita yang juga peguam syarie berkongsi rutin rakan sekerjanya yang sentiasa berhias setiap kali pulang kerja demi suami.
Menurut beliau, selepas menunaikan solat Asar, rakannya akan meluangkan masa untuk bersolek semula, menyapu losen dan memakai minyak wangi sebelum pulang ke rumah.
BACA LAGI: Henti 'body shaming' adik-beradik, jangan guna alasan bergurau!
"Setiap kali habis kerja, dia akan pastikan dirinya kelihatan kemas dan wangi. Saya pernah bertanya, mengapa bersusah payah berhias sedangkan hanya mahu pulang ke rumah.
"Kalau saya fikir nak balik dah. Buat apa nak cantik-cantik dan siap berwangi kan," ujarnya yang sehingga kini masih mengingati detik itu dan menjadikan teladan buatnya.
Bercerita lanjut, beliau menjelaskan, rutin tersebut dilakukan adalah kerana rakannya mahu tampil cantik di hadapan suaminya yang akan menjemput pulang dari tempat kerja.
"Mereka hanya menaiki motosikal setiap hari, tapi Masya-ALLAH. Nampak bahagia ya mereka," katanya yang mula tersedar waktu pulanglah masa sebenar untuk berhias kerana ada suami dan keluarga yang menunggu.
Beliau turut menekankan bahawa menjaga keharmonian rumah tangga tidak memerlukan usaha besar.
Katanya, perkara kecil seperti berhias untuk pasangan juga mampu membuatkan mereka berasa istimewa serta dihargai.
"Kadang-kadang tak perlu pun susah payah nak ambil hati suami. Cukup kita buatkan suami rasa dia istimewa," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram