
RAMAI wanita masih tidak sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk menuntut nafkah diri atau anak terus melalui Mahkamah Syariah, termasuk memohon arahan pemotongan gaji bekas suami yang culas.
Menurut peguam syarie, Nur Ramizah Kasbi, peruntukan itu jelas termaktub di bawah Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Akta 303) yang memberi kuasa kepada mahkamah mengarahkan majikan memotong gaji suami atau bekas suami bagi melunaskan nafkah anak serta isteri.
“Jika seorang bapa berpendapatan tetap tetapi enggan atau culas membayar nafkah anak, isteri atau bekas isteri boleh memohon perintah pemotongan gaji ketika mengemukakan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah.
“Mahkamah boleh terus arahkan bayaran nafkah disalurkan ke akaun ibu atau dipotong daripada gaji melalui majikan, sama ada sektor kerajaan mahupun swasta.
"Bagi penjawat awam, proses ini lebih mudah kerana sudah ada pekeliling khas yang membolehkan ia dilaksanakan,” katanya kepada Majoriti.
Nur Ramizah merupakan peguam syarie yang berkhidmat bagi kes di Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.
Prosedur dan bukti
Nur Ramizah menjelaskan, permohonan pemotongan gaji dibuat serentak dengan tuntutan nafkah.
Antara dokumen penting ialah butiran pekerjaan bapa, slip gaji (jika ada) dan bukti pendapatan.
“Kalau si ibu tidak lagi menyimpan slip gaji, maklumat asas seperti pekerjaan dan anggaran pendapatan bekas suami tetap boleh dikemukakan. Mahkamah akan menilai kemampuan bapa berdasarkan keperluan anak.
“Jika mahu lebih kukuh, ibu juga boleh memohon perintah mahkamah untuk penzahiran dokumen seperti carian KWSP, tetapi prosesnya agak teknikal,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tuntutan nafkah anak hanya boleh dituntut selepas adanya perintah mahkamah. Jika suami culas sebelum perintah dikeluarkan, tunggakan itu tidak boleh dituntut.
Nafkah dalam tempoh perkahwinan
Ramizah turut mengingatkan bahawa isteri mempunyai hak menuntut nafkah diri dan anak walaupun ketika masih dalam ikatan perkahwinan.
“Ramai isteri hanya menunggu selepas perceraian. Sebenarnya, dalam tempoh perkahwinan pun mereka berhak menuntut.
“Langkah ini penting untuk ‘secure’ masa depan. Jika perkahwinan berakhir dengan perceraian, sekurang-kurangnya perintah nafkah sudah ada dan boleh dikuatkuasakan,” katanya.
Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa 2025)
Bagi ibu tunggal yang berdepan bekas suami kerap mengelak tanggungjawab, kerajaan juga menyediakan sokongan menerusi program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa 2025).
“Program ini bukan sahaja memberi bantuan kewangan, malah menyediakan pendampingan undang-undang untuk membantu ibu menuntut nafkah di mahkamah.
"Ia memastikan hak nafkah anak-anak tidak terabai walaupun bapa gagal menjalankan tanggungjawab,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram