
KISAH menyayat hati mengenai seorang bayi perempuan berusia setahun lebih yang dipercayai menjadi mangsa serangan seksual mencetuskan kebimbangan ramai pihak, khususnya dalam kalangan ibu bapa.
Perkara itu didedahkan seorang wanita, Nazratul Fareha menerusi laman Threads selepas mengetahui kejadian itu daripada suaminya yang bertugas di sebuah klinik.
Nazratul berkata, bayi berkenaan dibawa ibunya untuk membuat pemeriksaan selepas didapati menangis tanpa henti dan wujud rasa sakit di bahagian sulit.
Pemeriksaan lanjut mendapati keadaan fizikal bayi itu abnormal, sekali gus menimbulkan syak wujudnya perbuatan kejam.
“Yang menakutkan, anak kecil itu dijaga di rumah pengasuh yang hanya ditemani sepasang warga emas.
"Tidak pasti siapa pelaku sebenar, tapi kalau betul ada pervert, memang gila kejam!” tulisnya di Threads sambil meluahkan rasa trauma sendiri sebagai seorang ibu.
Nazratul turut memaklumkan bahawa kes berkenaan sudah dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Di ruangan komen, ramai ibu bapa berkongsi kebimbangan yang sama, khususnya mengenai keselamatan anak-anak yang dihantar ke rumah pengasuh.
Seorang pengguna, Amirah berkata kes sebegitu menjadi sebab beliau memilih taska berdaftar berbanding pengasuh persendirian.
“Rumah pengasuh selalunya tiada CCTV (kamera litar tertutup). Kita hanya bersandarkan kepada kepercayaan semata-mata. Risau sangat bila fikirkan kemungkinan orang ambil kesempatan pada anak kecil,” katanya.
Seorang lagi, Jasmine berkata, beliau sanggup membayar lebih untuk taska rasmi kerana adanya kawalan dan pemantauan jelas.
“Sekurangnya, kalau di taska ada CCTV. Kalau jadi apa-apa, kita boleh dapat bukti untuk laporan polis dan saman. Kalau rumah pengasuh, nak based on apa?” balas Nazratul menyokong pandangan itu.
Seorang ibu lain, Shara Aliya Fauzi juga tidak dapat menyembunyikan rasa gerun.
“Ya Allah, lindungilah anak-anak kami. Kalau jadi pada anak saya, memang tak hidup dah pelaku tu. Undang-undang sekarang pun macam tak cukup nak lindungi budak,” katanya.
Manakala Zahraa menegaskan beliau lebih rela menjaga anak sendiri berbanding menyerahkan kepada orang luar.
“Jangan sampai nasi dah jadi bubur. Aku tak percaya sesiapa. Tua ke muda ke, bila sampai masa boleh jadi setan,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram