
AKSI seorang wanita berusia 62 tahun menunggang motosikal Yamaha RXZ tular di media sosial selepas rakaman video dimuat naik oleh menantunya, Firdaus Husain di laman TikTok.
Dalam video berkenaan, wanita tersebut yang juga ibu mentua Firdaus kelihatan cukup yakin mengendalikan motosikal berkenaan, termasuk ketika keluar simpang rumah, seolah-olah sudah lama berpengalaman dalam dunia permotoran.
Menurut Firdaus, ibu mentuanya itu bukan sahaja pernah menunggang pelbagai jenis motosikal sejak muda, malah pernah mengendalikan bas.
“Cucu minta nenek bawa RXZ. Mereka tidak tahu nenek sebelum ini biasa menunggang scrambler, malah masuk ke kebun dengan motosikal tersebut. Setakat RXZ ini, memang permainan beliau sahaja. Dulu bas pun beliau pernah bawa,” katanya.
Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-rata kagum dengan kemahiran wanita berkenaan.
Ada yang menyarankan agar beliau dibawa menyertai acara RXZ Member 8.0 tahun hadapan.
Mengulas cadangan itu, Firdaus berkata, ibu mentuanya sendiri sudah bertanya mengenai tarikh penganjuran program berkenaan kerana teruja untuk melihat suasana acara tersebut.
Perkongsian itu turut mendapat respon daripada pengguna lain, termasuk Fadhilah Azman yang mendedahkan bahawa ibunya yang berusia sama dengan nenek itu juga masih mampu mengendalikan motosikal berkuasa besar.
“Suami saya terkejut melihat ibu saya menunggang motosikal Z650 milik ayah. Ayah kata, sejak bersekolah lagi ibu sudah biasa menunggang Scrambler,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Parkchu Pali pula beranggapan nenek itu pasti menonjol jika turut serta dalam RXZ member 8.0.
"Tolonglah nek pergi RXZ Member 8.0, pasti meletup," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram