
BAGI sesetengah orang, cuti panjang sinonim dengan perjalanan jauh, tiket kapal terbang dan destinasi pelancongan.
Namun, tidak semua membesar dengan kenangan sebegitu. Ada keluarga yang menemukan makna cuti bukan pada lokasi, tetapi pada cara mereka meluangkan masa bersama.
Sama ada di dapur, di taman berdekatan atau sekadar berbual panjang di ruang tamu.
BACA LAGI: [VIDEO] Ayob Khan tunjuk skil tebar roti canai di Sibu, rupanya hasil asuhan keluarga turun-temurun
Dalam perkongsian di Threads, @ajlaahamdan mengimbas zaman kanak-kanaknya yang mana menurutnya, ayah beliau jarang sekali membawa mereka bercuti.
Pun begitu, ibunya tetap berusaha memastikan cuti sekolah diisi dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan.
"Saya ternampak posting seorang perempuan yang kata dia malu cuti panjang suami tak bawa bercuti. Saya belum berkahwin, tapi pengalaman saya berbeza," tulisnya.
Menurutnya, ayah jarang membawa mereka berjalan jauh.
"Umur 20 tahun baru saya jejak kaki ke Kuala Lumpur, itu pun sebab lawatan sekolah," katanya.
Bagaimanapun, ibunya tidak pernah mengeluh.
"Ibu selalu penuhkan cuti kami dengan aktiviti. Pagi-pagi bawa kami sarapan di taman, buat aktiviti kemahiran motor, malah hantar kami ke playschool. Itu pun sudah cukup menggembirakan," ujarnya.
Wanita itu turut berkongsi cara ibunya memastikan semua anak merasa pengalaman bercuti.
"Untuk keluarga besar memang kos tinggi kalau semua ikut sekali. Jadi, ibu akan pastikan kami bergilir-gilir ikut trip makcik ke luar negara.
"Walaupun sekali seumur hidup, cukup untuk beri kami rasa naik kapal terbang," katanya.
Kini apabila sudah dewasa, beliau dan adik-beradik lebih gemar meluangkan cuti di rumah.
"Kami tak pernah rancang percutian. Lebih seronok masak sama-sama sepanjang cuti, dapur kami memang tak berhenti dari pagi sampai malam.
"Kadang-kadang malam keluar sekeluarga sekadar pusing-pusing bandar. Itu sudah cukup bahagia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram