[VIDEO] Huruf jawi Fa, Alif simbol cinta tulus Fattah-Amira, pelamin moden aura Islamik tema Az Zauj jadi pilihan


  • Hias
  • Isnin, 15 Sep 2025

Pelamin moden minimalis bertema Az Zauj hasil sentuhan Reka Teemor menyerikan malam pernikahan Fattah Amin dan Amira Othman di Golden Palm Tree Resort. — Instagram/Fattah Amin

PEMINAT seni hiburan tempatan pastinya mengenali Fattah Amin, pelakon dan penyanyi serba boleh yang berjaya menawan hati ramai dengan bakat serta karisma tersendiri.

Kehidupan peribadinya kini menjadi tumpuan apabila dia sah bergelar suami kepada penyanyi jelita, Amira Othman.

Pertemuan dua figura itu mencetuskan kisah cinta yang penuh kesederhanaan, namun sarat dengan makna.

BACA LAGI: Kenali personaliti ikut warna kegemaran, jangan kerja 'cincai' dengan pencinta rona hitam, ini sebabnya...

BACA LAGI: [VIDEO] Projek dekor kini di fasa akhir, Chef Wan kongsi perjalanan menghias 'country home' impian di Raub

Majlis pernikahan mereka berlangsung di sebuah resort tepi pantai yang indah, Golden Palm Tree, Sepang, Selangor dengan suasana penuh ketenangan dan aura romantis.

Kehadiran keluarga serta insan terdekat menjadikan suasana lebih intim, menekankan bahawa cinta sejati tidak memerlukan kemewahan berlebihan, sebaliknya cukup dengan doa dan keberkatan.

Pasangan itu memilih untuk mengekalkan suasana Islam yang mendalam dalam konsep pernikahan mereka, sejajar dengan identiti dan perjalanan hidup masing-masing.

Dengan tetamu sekitar 200 orang, majlis itu disusun penuh teliti agar setiap perincian membawa makna, bukan sekadar hiasan semata-mata.

Reka bentuk pelamin dan dekorasi pernikahan Fattah dan Amira hasil kreativiti pasukan kreatif Reka Teemor.

Mengangkat tema Az Zauj yang bermaksud dua jiwa yang dipertemukan oleh ALLAH, dekorasi itu sarat dengan simbolik Islamik yang mendalam.

Warna putih mendominasi, membawa maksud kesucian, manakala elemen cahaya keemasan seakan matahari terbenam menambah nuansa romantis dan hangat pada malam bersejarah itu.

Pelamin moden minimalis dengan aura Islami menjadi nadi utama majlis.

Tertera huruf jawi Fa dan Alif pada gerbang utama, ia bukan sekadar dekorasi, tetapi simbol cinta tulus antara dua jiwa yang disatukan.

Ketika acara berlangsung, cahaya yang memantul pada huruf tersebut seolah-olah menyinari perjalanan cinta pasangan itu.

Lebih menarik, teknologi AI turut digunakan bagi menjana imej lima tugu Islamik di tepi pantai, menghiasi latar belakang pelamin.

Lima tugu tersebut melambangkan lima rukun Islam, sekali gus mengingatkan bahawa ikatan perkahwinan bukan hanya penyatuan cinta, tetapi juga penyatuan ibadah dan tanggungjawab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram