'Ada 10 anak, tapi tiada seorang pun ambil tahu', PU Riz pilu didatangi warga emas 'terabai' ketika ceramah


  • Bonda
  • Khamis, 11 Sep 2025

Menurut PU Haris (gambar kecil) kalau ibu bersedih dengan anak-anak, maka hilanglah keberkatan doa seorang ibu yang diperakui oleh Nabi SAW dan ALLAH SWT. — Gambar hiasan/AI

“SAYA ada 10 orang anak, tetapi satu pun tak nak jaga acik.”

Itulah luahan sayu seorang wanita warga emas yang ditemui pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz ketika beliau sedang menyampaikan ceramah baru-baru ini.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram beliau, wanita itu difahamkan datang menghampiri PU Riz lalu melantunkan bacaan ayat suci al-Quran.

BACA LAGI: 'Doktor gagal kesan denyutan jantung twin A, twin B berpusing dalam rahim', ibu kongsi detik cemas ketika bersalin kembar

BACA LAGI: 'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami

Bacaan indah itu nyata mengundang rasa kagum, namun di sebalik kemerduan suara, tersimpan kisah duka seorang ibu yang dikatakan terabai oleh anak-anaknya.

PU Riz berkata, apa yang dilontarkan wanita berkenaan cukup menyentuh hati dan menjadi peringatan besar buat anak-anak di luar sana agar tidak pernah sesekali mengabaikan ibu bapa.

“Kalau seorang ibu angkat tangan berdoa untuk kita, insya-ALLAH susah kita nak gagal. Tapi kalau dia bersedih atau kecewa dengan kita, maka hilanglah keberkatan doa seorang ibu yang diperakui oleh Nabi SAW dan ALLAH SWT,” jelasnya.

Menurut PU Riz, berbuat baik kepada ibu bukan lagi satu pilihan tetapi kewajipan mutlak.

“Kalau mak tidak menyukai atau menyayangi kita sepenuhnya, itu bukan alasan untuk kita tidak menyayangi mereka dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai doa seorang ibu yang terluka menjadi penghalang kejayaan hidup kita,” tambah suami kepada selebriti dan usahawan, Neelofa tersebut.

Katanya lagi, dalam al-Quran juga terdapat pengkhususan tentang doa seorang ibu, menggambarkan betapa tingginya kedudukan seorang bonda.

Justeru, setiap anak wajib menghargai dan menjaga mereka hingga ke akhir hayat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram