Taksub pada selebriti satu penyakit? Kajian jawab kaitannya dengan tahap IQ rendah


  • Maya
  • Selasa, 16 Sep 2025

Semakin tinggi IQ, semakin rendah kecenderungan untuk terlalu taksub dengan selebriti.

FENOMENA peminat obses terhadap selebriti bukanlah perkara baharu kerana ia telah wujud sejak zaman bintang filem klasik, malah kini semakin jelas dengan kewujudan media sosial.

Ramai suka mengikuti perkembangan artis kegemaran mereka, membeli produk yang mereka guna atau menonton rancangan mereka sertai.

Namun, ada juga yang membawa rasa kagum ini ke tahap yang lebih ekstrem sehingga hidup mereka seolah-olah berputar mengikut jadual selebriti tersebut.

BACA LAGI: Kenali personaliti ikut warna kegemaran, jangan kerja 'cincai' dengan pencinta rona hitam, ini sebabnya...

BACA LAGI: [VIDEO] Huruf jawi Fa, Alif simbol cinta tulus Fattah-Amira, pelamin moden aura Islamik tema Az Zauj jadi pilihan

Persoalannya, mengapa sesetengah orang boleh menjadi begitu taksub dengan selebriti, manakala yang lain hanya sekadar suka-suka menonton?

Adakah ini ada kaitan dengan tahap kecerdasan atau IQ seseorang?

Kajian psikologi terbaharu memberi jawapan menarik dan mungkin mengejutkan tentang bagaimana tahap IQ boleh mempengaruhi cara seseorang mengagumi selebriti.

Dalam kajian artikel oleh clearerthinking, kita akan melihat hasil yang mengukur hubungan antara IQ dan tahap penyembahan selebriti.

Kajian itu juga membahagikan jenis-jenis sikap terhadap selebriti, serta membandingkan dengan kajian lain bagi memahami fenomena itu dengan lebih mendalam.

Dalam satu kajian melibatkan 681 orang responden, penyelidik mendapati terdapat hubungan negatif sederhana antara IQ dan tahap 'celebrity worship' (penyembahan atau taksub terhadap selebriti) iaitu pada r = -0.31.

Ini bermakna, secara purata, semakin tinggi IQ seseorang, semakin rendah kecenderungan mereka untuk terlalu mengagumi selebriti.

Namun, kajian itu tidak sekadar mengukur rasa kagum secara umum kerana para penyelidik membahagikan sikap terhadap selebriti kepada tiga kategori utama:

1. Sikap sosial – contohnya: "Saya rasa seronok menonton, membaca, atau mendengar selebriti kegemaran saya."

2. Sikap peribadi intens – contohnya: "Apabila selebriti kegemaran saya berjaya, saya rasa seolah-olah itu juga kejayaan saya."

3. Sikap patologi – contohnya: "Saya terlalu meminati selebriti kegemaran saya hingga obses mengetahui segala butiran tentang hidup mereka."

Menariknya, hubungan negatif itu terutama sekali didorong oleh dua kategori terakhir – iaitu sikap peribadi intens (r = -0.29) dan sikap patologi (r = -0.42).

Sementara itu, hubungan antara IQ dan sikap sosial hampir tiada (r = -0.04).

Ini menunjukkan, suka menonton selebriti atau merasa mereka menghiburkan adalah normal dan tidak berkaitan dengan tahap IQ.

Sikap patologi peminat dikaitkan dengan pemikiran yang kurang kritikal.

Perbandingan dengan kajian lain

Dua kajian lain juga mengesahkan corak yang sama.

Kajian McCutcheon et al. (2003) melibatkan 102 peserta mendapati korelasi negatif sederhana antara minat terhadap selebriti dengan kebolehan kognitif (r = -0.31 untuk kebolehan spatial dan r = -0.41 untuk kebolehan berfikir kritikal).

Kajian McCutcheon et al. (2021) dengan sampel yang jauh lebih besar (1,763 peserta) juga mendapati hubungan negatif, tetapi kesannya lebih kecil (r = -0.11).

Walaupun saiz kesan berbeza, ketiga-tiga kajian menunjukkan trend konsisten iaitu semakin rendah tahap kognitif seseorang, semakin tinggi kecenderungan untuk menjadi taksub dengan selebriti.

Daripada gabungan hasil kajian itu, kita boleh merumuskan bahawa taksubketerlaluan terhadap selebriti ada kaitan dengan tahap IQ yang lebih rendah.

Minat biasa atau rasa seronok terhadap selebriti tidak ada kaitan dengan IQ kerana ia adalah sebahagian daripada hiburan harian.

Secara mudahnya, mengagumi selebriti tidak salah, tetapi jika ia menjadi keterlaluan hingga menjejaskan kehidupan sendiri, ia mungkin tanda seseorang mempunyai cara berfikir yang kurang kritikal atau lebih mudah terpengaruh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram