Myvi lesap lepas pulang 'outstation', rupanya kereta dijual kekasih kepingin pakai beg Chanel


  • Cinta
  • Khamis, 11 Sep 2025

Lelaki kecewa selepas teman wanita jual kereta Myvi kesayangan untuk membeli beg Chanel.

HUBUNGAN cinta sering kali diuji apabila melibatkan soal kewangan.

Ada pasangan yang sanggup berkorban demi masa depan bersama, namun ada juga yang mementingkan gaya hidup sehingga menjejaskan orang lain.

Seorang lelaki dari Pulau Pinang telah mencuri perhatian selepas mendakwa kereta kesayangannya dijual oleh teman wanita semata-mata untuk membeli beg tangan mewah.

BACA LAGI: [VIDEO] Suami hadiahkan isteri Honda Civic Type R pada hari konvokesyen simbolik usaha, penat lelah

BACA LAGI: 'Pentingnya kemahiran menjahit', Dr. Asyraf Wajdi kongsi momen anak perempuan 'alter' seluar di rumah

Menurut perkongsian yang tular di Facebook, lelaki itu menceritakan dia dan teman wanitanya sama-sama berasal dari Pulau Pinang.

Di rumah, mereka memiliki sebuah kereta lama, Perodua Myvi berusia lebih 10 tahun yang diwarisi daripada ahli keluarga.

Walaupun sudah berusia, kereta itu dijaga dengan baik dan mempunyai nilai sentimental buatnya.

Segalanya berubah apabila dia pulang daripada beberapa hari 'outstation' dan mendapati kereta itu sudah tiada.

Apabila ditanya, teman wanitanya dengan tenang menjawab bahawa dia sudah menjual kereta tersebut.

"Oh, saya dah jual kereta itu. Lagipun awak masih ada Saga. Myvi lama itu pun cuma tersadai sahaja."

Lelaki itu tergamam kerana kereta tersebut didaftarkan atas namanya, bukan milik teman wanitanya.

Lebih mengejutkan, kereta itu bukan dijual secara sah kepada pengedar, tetapi diserahkan kepada orang lain secara sambung bayar tanpa sebarang proses pindah milik rasmi.

"Dia siap cakap cara itu lebih cepat, dapat duit tunai terus dan boleh beli beg tanpa tunggu 'dealer' uruskan proses lama-lama."

Lebih mengecewakan, hasil jualan kereta itu tidak mencukupi untuk membeli beg mewah yang diingini, lalu dia diminta menambah baki wang supaya cukup untuk membeli sebuah beg Chanel.

Teman wanitanya memberi alasan bahawa dia kini bergaul dengan rakan-rakan yang memakai jenama mewah seperti Chanel, Louis Vuitton, Dior dan Miu Miu.

Tanpa beg tangan berjenama, dia merasa malu untuk keluar minum kopi di kafe kerana kelihatan seperti ketinggalan.

"Dia cakap, lebih rela saya tak ada Myvi daripada dia tak ada beg Chanel. Malah dia kata kalau dia malu depan kawan-kawan, saya pun akan malu."

Akhirnya, beg tersebut dibeli, lalu teman wanitanya keluar bersama rakan-rakan, berpakaian cantik, bergambar dan memuat naik ke media sosial seolah-olah hasil usaha sendiri.

Lelaki itu mengaku dia hanya mampu mengeluh sambil memandu kereta Saga lama yang tinggal.

"Saya mula tertanya-tanya, hubungan ini benar-benar tentang saling menyokong atau dia hanya mengambil (harta) sedikit demi sedikit daripada hidup saya.

"Kalau kereta pun boleh dijual tanpa izin, saya tak berani bayangkan apa pula yang akan dijual selepas ini."

Perkongsian lelaki itu mengundang pelbagai reaksi warganet.

Ada yang menyokong tindakan lelaki tersebut mempertikaikan sikap teman wanitanya, malah ada menasihatkan supaya menilai semula hubungan mereka kerana kepercayaan adalah asas utama dalam percintaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram