
SIAPA sangka, rupa paras dan gaya sebenarnya menjadi petunjuk kecil yang membezakan rakyat Malaysia dan Indonesia walaupun kedua-duanya sering digelar serumpun.
Seorang pengguna Threads, Nikihfaz, baru-baru ini berkongsi bahawa rakannya dari Indonesia boleh mengenal pasti wajah rakyat Malaysia, tetapi sebaliknya sukar membezakan sesama mereka dengan Filipina atau Thailand (Patani).
“Orang Indonesia boleh tahu yang mana Malaysia, yang mana tak. Tapi kalau nak beza dengan Filipina atau Thailand, memang susah. Muka semua lebih kurang,” katanya.
Perkongsian itu seterusnya mengundang perbualan hangat di ruangan komen apabila ramai turut berkongsi pengalaman sama.
Aura dan karisma
Bagi warga Malaysia, Fitsunata yang berdarah Indonesia berkata, dia juga mampu mengenali orang Malaysia melalui nama, slang dan penampilan.
“Saya boleh kenal orang yang sama macam saya. Saya boleh rasa melalui nama, slang dan penampilan mereka,” tulisnya.
Rakyat Malaysia yang kini tinggal di Qatar, Sadira Rais turut bersetuju bahawa orang Malaysia memiliki identiti tersendiri.
“Ada aura yang sukar diterangkan. Sama ada bertudung atau tidak, lelaki pun boleh dibezakan,” tulisnya.
Pandangan itu disokong Jahidih Saili yang mendedahkan bahawa orang Qatar sendiri juga boleh membezakan antara Malaysia dan Indonesia, mungkin kerana karisma yang berbeza.
Gaya berpakaian dan tudung
Selain wajah, cara berpakaian turut menjadi penanda jelas.
Pengguna, Snowiemarch berkata, gaya wanita Malaysia mengenakan tudung jauh berbeza dengan wanita Indonesia.
Fairuzi Indrina pula menjelaskan, solekan dan gaya tudung menjadi kunci utama.
“Kebanyakan wanita berhijab di Malaysia suka gaya solekan bold dan flawless, tudung pasmina pula digayakan lebih teratur.
"Manakala wanita Indonesia cenderung memilih solekan ala Korea dengan rona merah jambu dan gaya tudung segi empat yang lebih ringkas. Selalunya tekaan saya tepat,” jelasnya.
Namun begitu, Hasariesptr memberi pandangan lebih kritis apabila mendakwa wanita Indonesia kurang menitik beratkan kekemasan tudung berbanding wanita Malaysia.
Bentuk wajah dan cara ketawa
Ada juga yang percaya perbezaan boleh dikenal pasti melalui bentuk tulang muka.
Aznie Ruhil Hayati berkongsi bahawa arwah bapanya boleh membezakan orang Thai, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Filipina serta Sabah dan Sarawak hanya melalui bentuk rahang, dagu dan hidung.
“Orang Thai, Myanmar, Kemboja dan Vietnam biasanya memiliki rahang kecil dengan dagu yang pendek serta hidung yang kecil.
"Bagi orang Filipina pula, bentuk dagunya lebih runcing dan hidung kelihatan lebih tinggi, manakala masyarakat Sabah dan Sarawak cenderung mempunyai tulang muka lebih lebar, hidung lebih besar serta bahu yang lebih bidang,” katanya.
Lebih menarik, ada juga yang menyebut cara ketawa rakyat Malaysia mudah 'membocorkan identiti'.
“Grab rider di Jakarta dah boleh agak saya dan kawan perempuan dari Malaysia. Katanya selain bahasa, cara kami berpakaian dan gelak sudah cukup jadi clue. Saya pun rasa cara gelak orang Malaysia ni memang jenis tak ingat dunia,” kata Rokky Ah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram