'Bukan kali pertama terlanjur', gadis 19 tahun hamil 9 minggu, doktor titip pesanan buat gadis mesti belajar kata 'tidak'


  • Maya
  • Rabu, 10 Sep 2025

Doktor yang bertugas di klinik berkenaan mendedahkan realiti kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja wanita sering berakhir dengan dilema. — Gambar hiasan/Janaan AI

KITA sering didedahkan dengan berita mengenai gadis muda yang belum berkahwin ‘terlanjur’ dengan pasangan masing-masing.

Detik tersebut kadang-kala menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang sekeliling sehingga mereka dianggap ‘kotor’ atau salah.

Pada Selasa, sebuah klinik di sekitar Lembah Klang berkongsi kisah di media sosial yang sedikit sebanyak membuka mata tentang realiti kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja.

BACA LAGI: Biasakan sambut ulang tahun perkahwinan sebagai tanda hargai diri, pasangan — Peguam Syarie

BACA LAGI: 'Dia beli jiwa kita dulu guys bijak!, wanita dedah 3 cara pemasaran Khairul Aming hingga ramai terpikat

"Semalam (Isnin), kira-kira 30 minit sebelum klinik ditutup, datang seorang gadis muda, umur baru 19 tahun dan masih belajar. Dia mengadu pening, loya dan hilang selera makan sejak kebelakangan ini," tulis klinik itu menerusi platform Threads.

Menurut klinik berkenaan, hasil pemeriksaan menunjukkan semuanya normal, tetapi apabila ditanya tentang kitaran haid, rupanya gadis terbabit sudah hampir dua bulan tidak datang haid.

Doktor kemudiannya mencadangkan untuk membuat ujian air kencing dan imbasan.

"Waktu tu, muka dia terus pucat dan menggenggam kuat tangan doktor, seakan tahu jawapannya," kongsi klinik itu lagi.

Kedua-dua Keputusan ujian jelas menunjukkan tanda positif. Hasil imbasan juga menunjukkan terdapat janin berusia sembilan minggu.

Tambah perkongsian yang disertakan dengan dua keping foto keputusan ujian tersebut, gadis berkenaan menangis sebaik mendengar berita itu.

"Doktor, saya belum bersedia, saya masih belajar. Ibu bapa pun tak tahu apa-apa," kata wanita itu kepada doktor yang memeriksanya.

Susulan itu, pihak klinik tersebut menyedari bahawa beliau memerlukan lebih daripada rawatan.

"Dia perlukan sokongan dan ruang untuk bercerita tanpa dihukum," kata doktor tersebut sambil menambah itu bukan kali pertama beliau 'terlanjur'.

Doktor terlibat juga menekankan realiti yang sering dihadapi remaja.

"Ramai yang terlanjur berakhir dengan dilema begini. Tak tahu nak luah pada siapa. Takut kena marah, takut dibuang keluarga.

"Realitinya, kehamilan tetap berlaku. Bayi akan tetap membesar dan mereka perlukan jagaan yang betul, bukan kecaman," kata doktor.

Justeru, beliau menitipkan pesanan khusus kepada remaja wanita.

"Sayangi diri, belajar untuk katakan tidak. Jangan serahkan masa depan hanya kerana rasa cinta sementara.

"Jangan mudah tergoda dan menggoda. Wanita yang kuat ialah wanita yang tahu nilai dirinya," ujarnya sambil mendoakan gadis berkenaan agar menemukan jalan yang betul dan dikelilingi orang yang memberi sokongan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram