
DALAM dunia serba moden hari ini, anak-anak banyak membesar dengan gajet, media sosial dan gaya hidup serba teknologi.
Ramai ibu bapa bimbang generasi baharu lebih handal di hujung jari berbanding belajar kemahiran asas kehidupan.
Hakikatnya, kemahiran seperti menjahit, memasak, bertukang atau bercucuk tanam masih relevan dan penting sebagai bekalan masa depan.
BACA LAGI: Seni makrame Sinthana, ikatan simpul jadi dekorasi penuh gaya
Bagi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, beliau percaya kemahiran asas sebegitu bukan sekadar hobi, malah mampu membantu anak-anak berdikari, menjimatkan kos, malah berpotensi menjadi punca pendapatan.
Perkara itu dikongsikan sendiri melalui satu perbualan ringkas tetapi penuh makna di laman Instagram miliknya.
"Affaf, tolong 'alter' seluar Abi baru sampai," minta beliau kepada anak perempuannya.
"Ini mesti beli seluar TikTok lagi ini!" jawab si puteri penuh bersahaja.
Dr. Asyraf kemudian tersenyum lantas menjelaskan bahawa seluar itu dibelinya secara atas talian pada harga sekitar RM29.90 sahaja, murah tetapi selesa.
Cuma masalahnya, perlu dipendekkan sedikit sebelum dipakai untuk ke sebuah majlis makan malam.
Mujurlah ada anak perempuan yang mahir menjahit, tidak perlu dihantar ke kedai.
Katanya, banyak juga pakaian yang dibeli atas talian seperti TikTok Shop perlu diubah suai.
Biasanya, sama ada isteri atau anak-anaklah yang akan menolong sambil beliau menekankan, inilah antara kelebihan bila anak-anak memiliki kemahiran asas seperti menjahit.
Menurutnya lagi, kemahiran menjahit wajar dijadikan antara ilmu hidup yang boleh dididik sejak kecil, khususnya anak perempuan selain memasak.
Dalam dunia penuh cabaran ini, setiap anak seharusnya memiliki sekurang-kurangnya satu kemahiran tambahan bagi membantu mereka di masa depan.
Menyentuh peranan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam memperkasakan bakat belia, Dr. Asyraf turut menyarankan ibu bapa mempertimbangkan kelas kemahiran GiatMara untuk anak-anak.
Dengan adanya platform seperti itu, mereka boleh mengasah bakat, malah mungkin suatu hari nanti berpeluang membuka butik sendiri.
Beliau berseloroh, anak perempuannya yang membantu ubah suai seluar itu pun berkesempatan masuk kelas GiatMara, pasti sudah boleh menguruskan butik sendiri.
Perkongsian itu membuktikan bahawa nilai kemahiran tradisi tidak pernah lapuk dek zaman.
Malah, ia menjadi aset berharga apabila diamalkan dan dikembangkan dengan cara yang tepat.
Bagi Dr. Asyraf, sebuah jahitan kecil mampu meninggalkan nilai besar dalam membentuk generasi masa depan yang lebih berdikari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram