
MEMILIKI apartment kecil sering kali membuatkan kita rasa terbatas dengan ruang sempit, barang cepat berselerak dan sukar untuk menghias.
Namun, menurut pereka dalaman Paris, Marianne Evennou, semua itu tidak harus menjadi penghalang.
Dengan pendekatan kreatif dan praktikal, ruang sekecil 100 kaki persegi pun boleh berubah menjadi kediaman selesa, bergaya dan penuh karakter.
BACA LAGI: Rak buku, mini 'island' antara 6 idea kreatif pisahkan dapur, ruang tamu tanpa perlu bina dinding
BACA LAGI: Anak kongsi kisah kasih sayang ibu dan nenek hingga hujung nyawa, meninggal dunia selang sehari
Kejayaan Marianne membuktikan bahawa rahsia ruang kecil bukan sekadar memuatkan perabot, tetapi bagaimana fungsi dan gaya seimbang dalam setiap inci.
Dari susun atur bijak, penyimpanan pintar hingga rekaan mengikut keperluan, beliau menunjukkan bahawa apartment kecil juga mampu tampil eksklusif.
Berikut tiga tips utama yang boleh kita tiru daripada pakar hiasan dalaman Paris untuk mengubah apartment mini menjadi ruang lebih luas dan bernyawa.
Susun atur bijak jadikan ruang kecil lebih luas dan selesa.
1. Susun atur bijak, ruang nampak luas
Marianne menekankan kepentingan menghormati seni bina asal rumah.
Jika apartment kecil terasa sempit, susun atur terbuka boleh mencipta ilusi luas.
Contohnya, di apartment 'Chez Bambi' seluas kurang 400 kaki persegi, beliau membuka ruang dapur ke arah ruang tamu untuk memaksimumkan cahaya daripada tingkap.
Hasilnya, setiap sudut terasa sebahagian daripada naratif rekaan yang sama, tidak lagi terasing.
Tipsnya bermain dengan perspektif seperti tingkap dalaman, bumbung kaca atau bukaan kecil yang membenarkan mata melarikan diri.
Kaedah itu menghapuskan rasa seperti terkurung dalam 'cell' dan memberi suasana perjalanan visual di dalam rumah sendiri.
Malah, untuk mengurangkan bunyi jalanan, bilik tidur diletakkan di bahagian belakang apartment.
Dinding kaca digunakan supaya cahaya tetap mengalir, sementara panel kayu di bilik tidur memberi rasa seperti kabin kecil di tengah kota Paris yang mahal.
Seni rekaan dalaman Paris sentiasa mengutamakan keanggunan dan fungsi.
2. Utamakan penyimpanan pintar
Selain susun atur, penyimpanan adalah nadi utama dalam rekaan apartment kecil.
Di rumah Chez Rose yang hanya 200 kaki persegi, Marianne menggunakan setiap sudut untuk fungsi berganda.
Katil rekaan khas boleh bertukar menjadi bangku, manakala langsir menyorokkan ruang simpanan.
Dapur pula dijadikan sebahagian daripada ruang tamu, dengan kabinet atas dihias seperti karya seni hasil ciptaan suaminya, Franck Evennou.
Keseluruhan dapur tidak lagi kelihatan seperti dapur, ia sebati sebagai sebahagian dekorasi.
Marianne percaya setiap sentimeter boleh dimanfaatkan dengan tangga yang diubah sebagai rak buku, bangku menjadi peti simpanan, atau singki direka bagi memberi ruang kosong di bawahnya.
Pilihan warna berani membezakan setiap ruang tanpa dinding pemisah.
3. Rekaan berdasarkan keperluan
Ruang kecil tidak semestinya terikat dengan kekangan, ia sebenarnya peluang untuk rekaan lebih peribadi.
Contohnya, apartment Chez Anne seluas kurang 100 kaki persegi dibina khas untuk seorang pensyarah universiti dari Brussels yang sering ke Paris.
Dia mahukan tempat tinggal sendiri, bukannya hotel.
Keperluannya jelas, ruang untuk memasak kerana dia gemar memasak, katil tarik untuk digunakan hujung minggu bersama suami, serta pintu gelangsar agar bilik air dan ruang simpanan lebih praktikal.
Marianne turut menambah sentuhan peribadi seperti kertas dinding direka menantunya, Yung Chi Ku-Evennou, yang diinspirasikan oleh seni Renaissance Itali.
Corak itu memberi pemandangan lain dalam apartment kecil yang hanya ada satu tingkap.
Beliau menegaskan, apartment kecil tetap perlu ada ruang untuk setiap aktiviti asas seperti tidur, makan, mandi, menyimpan, bekerja dan berehat.
Bagi Marianne, kunci kejayaan apartment kecil ialah menghormati ruang dengan menggunakan bahan berkualiti, reka dengan elegan dan tambah unsur puitis.
Katanya, "Layan ruang kecil dengan hormat dan ia akan menyerlah. Jangan lihat ia sebagai kekangan, tetapi sebagai peluang untuk berimaginasi. Bayangkan ia sebuah istana kecil dan dindingnya seakan-akan mengembang memberi kebahagiaan." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram