Ibu terharu anak alami disleksia sejak umur 7 tahun berjaya tamat diploma, bakal lanjut 'degree' jurusan seni reka grafik di UiTM


  • Bonda
  • Sabtu, 06 Sep 2025

Status disleksia tidak menghalang untuk remaja lelaki tersebut mencapai kejayaan dalam pendidikan. — Gambar hiasan/AI

MEMBESARKAN dan mendidik anak istimewa tidak dinafikan merupakan suatu cabaran yang perlu ditempuhi.

Namun, siapa dengan sokongan dan usaha berterusan, anak-anak sedemikian mampu dibentuk menjadi individu berjaya di masa hadapan.

Begitu juga dengan kisah seorang ibu yang mempunyai anak lelaki didiagnos sebagai disleksia.

BACA LAGI: 'Umur 11 tahun terlalu naif', ramai ibu temankan anak keluar berjalan dengan kawan

BACA LAGI: Usahawan kosmetik ubah suai ruang tamu rumah kampung mak, rekaan moden cipta memori baharu bersama anak cucu

 

 

 

Menerusi hantaran dikongsikan wanita tersebut di akaun Threads @zura.ishak.7, anaknya, Ahmad Danial Ahmad Saifuddin membuktikan bahawa status itu tidak menghalangnya untuk terus berjaya.

"Satu-satunya anak lelaki saya disahkan disleksia sejak usia tujuh tahun dan dimasukkan ke kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) hingga 15 tahun sebelum ke arus perdana.

"Bulan ini (September) dia akan hadir graduasi untuk sambung Diploma Seni Reka Grafik di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Baru tadi dia dapat keputusan tawaran untuk sarjana muda dalam bidang sama di UiTM," tulisnya.

Pencapaian itu sekali gus menjadi inspirasi buat seluruh masyarakat agar tidak mudah berputus asa walau dalam apa jua keadaan.

Wanita tersebut pada masa sama memberi saranan kepada para ibu bapa yang memiliki anak sedemikian.

"Kepada yang ada anak istimewa.

"Selain dari mencari pendidikan yang sesuai untuk anak, kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa tanamkan sifat keyakinan pada diri sendiri.

"Ia proses berterusan, semoga dipermudahkan buat semua," pesannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram