
SEORANG wanita yang sebelum ini tular selepas memuat naik videonya mendandan rambut anak perempuannya buat kali terakhir sebelum meninggal dunia akibat kemalangan sekali lagi mencuri tumpuan ramai.
Terbaharu, wanita bernama Amelia Kartika Mappatata itu memuat naik video berlatar belakang serba hitam, tetapi cukup menyentap hatinya.
Mungkin tidak sanggup menanggung rindu terhadap arwah anak kesayangannya, Chempaka Alara Azizi atau lebih senang dipanggil Bunga.
BACA LAGI: 'Sejak bila sekolah ada standard T20, B40, M40?', bapa persoal bayaran majlis graduasi anak darjah 6
BACA LAGI: Tak sampai 30 saat, ibu anak 2 pecah rekod dunia lari 'berkaki ayam' 100 meter atas trek mainan Lego
Dalam video sama, jelas kedengaran bait-bait nasihat daripada seorang ustaz dalam mengikhlaskan diri ketika ditimpa ujian.
"Setiap manusia kalau dia berpisah hidup, dia akan rasa dendam. Tetapi, kalau berpisah mati, akan ada rasa sayang.
"Kita bersangka baik dengan ALLAH. Mungkin ALLAH nak bagi yang lain untuk kita.
"Kita tak tahu kita punya perjalanan, mungkin selalu tertanya 'kenapa aku ya ALLAH'.
"Tetapi kena faham, ALLAH nak bagi kita musibah, Dia dah susun, kita rancang tetapi takdir ALLAH yang tentukan," pesannya.
Jelas ustaz yang tidak didedahkan identitinya, setiap individu pastinya diuji dan ia bukanlah petanda seseorang itu dibenci.
"Bukan semua orang dapat ujian begini, kakak (Amelia) kena kuat semangat.
"ALLAH sayang kita," nasihatnya.
Meskipun ia ringkas, pesanan tersebut mampu menusuk jiwa wanita cekal itu untuk terus kuat meneruskan hidupnya.
Sebelum ini, kereta yang dinaiki Amelia bersama Chempaka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda pada 24 Ogos lalu.
Dalam nahas tersebut, Chempaka yang baru berusia tiga tahun meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah, Pahang manakala Amelia mengalami patah rusuk dan tangan.
Lebih memilukan, momen Amelia mempersiapkan puteri tunggalnya beberapa jam sebelum kemalangan berlaku itu disimpan menjadi kenangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram