
PERANCANGAN percutian indah beberapa warga Malaysia di Bali bertukar cemas apabila hujan lebat berterusan sejak Rabu sehingga menyebabkan banjir kilat melanda sekitar Denpasar, sekali gus menjejaskan perjalanan pulang mereka ke tanah air.
Menerusi satu hantaran di TikTok, seorang wanita Malaysia, Wnurshuhada berkongsi rakaman keadaan banjir yang menenggelami kawasan sekitar hotel penginapannya.
Dalam video tersebut, kelihatan beberapa kenderaan rosak selepas paras air mencecah hampir separuh badan kenderaan.
“Satu family terkandas di Denpasar Bali. Tiba-tiba hujan berterusan, air naik tinggi pagi ini. Doakan kami sekeluarga di sini, nak balik Malaysia,” katanya.
BACA LAGI: Walau serumpun, rupanya banyak 'detail' kecil yang bezakan wanita Malaysia dan Indonesia
Perkongsian itu turut menarik perhatian pengguna lain, termasuk rakyat Malaysia yang turut mengalami nasib sama.
Seorang pengguna TikTok, Queenlatifah04 meluahkan rasa kecewa apabila penerbangannya ke Malaysia terpaksa dibatalkan selepas banjir menenggelami laluan keluar dari penginapannya.
“Sama la kita sis… tak lepas jugak ke Malaysia. Sepatutnya penerbangan hari ini, tapi apa lah daya… tengah siap-siap keluar vila, dah banjir. Terpaksa beli tiket baru, penerbangan saya sepatutnya pukul 12.45 tadi,” katanya.
Bagi seorang lagi pengguna, Yue, banjir itu turut menjejaskan rakannya yang baru tiba di Bali untuk berbulan madu.
“Kawan saya tengah honeymoon right now, kesian dia. Dia baru sampai hari Selasa,” ujarnya.
Sementara itu, Kimi WOoHyUn pula melahirkan kebimbangan apabila bencana tersebut mungkin menjejaskan jadual pulangnya ke Malaysia.
“Saya penerbangan balik Malaysia esok malam… moga-moga jalan nak ke airport air dah surut,” katanya dengan penuh harapan.
Dalam masa sama, seorang pelancong lain, Missjanna yang merancang bercuti ke Bali hujung minggu ini turut meluahkan kegusaran.
“Saya nak pergi sana Sabtu ni… okay ke tak cuacanya?” tulisnya.
Namun, dalam perkembangan terbaharu pada Khamis, Wnurshuhada memaklumkan keadaan di Denpasar semakin pulih selepas air surut dan cuaca kembali cerah.
“Air makin surut. Kawasan hotel semalam semua sudah kembali normal. Sekarang saya berpindah ke kawasan lain yang berdekatan. Hari ini pun cuaca dah cerah. Alhamdulillah, semoga cuaca berterusan baik dan yang plan bercuti ke sini akan baik-baik sahaja,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram