
SERAMAI 31 individu cedera selepas bumbung sebuah bangunan Sekolah Menengah Vokasional Negeri (SMVN) 1 Cileungsi, Bogor, Indonesia runtuh dalam kejadian yang berlaku pada Rabu.
Menurut Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistik Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Bogor, M. Adam Hamdani, kesemua mangsa telah dikejarkan ke dua hospital berbeza bagi mendapatkan rawatan.
“Seramai 26 mangsa, kesemuanya pelajar dari Tingkatan 4 hingga Tingkatan 6 pelbagai jurusan, dirawat di Hospital Pakar MH Thamrin, Bogor.
BACA LAGI: [VIDEO] Cubaan curi kabel gagal, lelaki terperangkap dekat tiang landasan MRT TTDI
BACA LAGI: ‘Klik Sebelum Gerak’, penumpang tidak pakai tali pinggang keledar akan disaman RM300 — JPJ
"Setakat ini, 20 sudah dibenarkan keluar, manakala enam lagi masih menerima rawatan,” katanya kepada media.
Sementara itu, lima lagi mangsa terdiri daripada tiga pelajar dan dua guru dirawat di Hospital Mary, namun kesemua mereka telah pun dibenarkan pulang.
Kawasan sekolah kini dikawal ketat pihak berkuasa selepas struktur bumbung yang runtuh dipindahkan.
Polis juga dilaporkan memasang pita keselamatan untuk mengelakkan sebarang kejadian lebih buruk.
Ketua Polis Daerah Cileungsi, Komisioner Edison berkata, meskipun hanya bumbung yang runtuh, risiko keruntuhan keseluruhan struktur masih tinggi terutama jika berlaku angin kencang.
"Kami bimbang struktur bangunan akan runtuh sepenuhnya sekiranya ditiup angin kencang.
"Oleh itu, hanya kenderaan kecemasan seperti ambulans dan trak bomba sahaja dibenarkan ke kawasan kejadian," katanya.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram