
BIJI chia, buah beri, strawberi dan raspberi, itulah antara makanan penuh serat yang dimasukkan seorang pengguna TikTok, @impamibaby ke dalam mangkuk kayu sarapannya.
Beliau merakam dan berkongsi video tersebut sehingga memberi inspirasi kepada ramai pengguna lain untuk menambah serat dalam pemakanan harian. Katanya, serat membantu menghilangkan masalah perut kembung.
Fenomena itu dinamakan '#fibermaxxing' iaitu amalan mengambil makanan kaya serat sehingga mencapai atau melebihi saranan harian.
Ia dikaitkan dengan kesihatan usus, pengurusan berat badan dan pelbagai manfaat lain. Malah, video berkaitan tanda pagar tersebut kini mencecah puluhan juta tontonan.
Ahli diet berdaftar, Lauren Manaker berkata trend itu dilihat lebih sihat berbanding kebanyakan trend pelik yang tular di TikTok.
Menurutnya, ramai orang dewasa gagal mencapai pengambilan serat harian yang disyorkan. Garis Panduan Diet Amerika menetapkan keperluan 22 hingga 34 gram (g) serat sehari bergantung umur dan jantina.
Namun, lebih 90 peratus wanita dan 97 peratus lelaki di negara itu tidak mencapainya.
"Serat sangat penting kerana ia boleh mengurangkan risiko kanser usus yang kini semakin meningkat dalam kalangan mereka berusia 20 hingga 54 tahun," jelasnya.
Pakar gastroenterologi, Dr. Kyle Staller pula menyifatkan serat sebagai 'cadangan lama yang masih relevan', namun mengingatkan perubahan drastik dalam diet boleh menyebabkan ketidakselesaan seperti kembung.
Dua jenis serat
Secara umumnya terdapat dua jenis serat. Larut air dan tidak larut. Serat larut membentuk gel apabila bercampur air bagi membantu pencernaan dan menstabilkan gula darah, manakala serat tidak larut pula melancarkan pembuangan najis.
Contoh makanan berserat larut termasuk epal, pisang, buah oren, oat dan barli, manakala serat tidak larut banyak terdapat dalam sayuran hijau, bunga kobis, kentang dan gandum penuh.
Dr. Kyle menjelaskan, kesan serat juga bergantung cara makanan itu diproses atau dimasak.
Namun beliau menasihatkan orang ramai tidak perlu terlalu teliti, sebaliknya cukup sekadar mengambil pelbagai jenis makanan segar dan kurang diproses.
Banyak manfaat
Kajian menunjukkan serat membantu menurunkan risiko kanser usus dengan mempercepatkan pergerakan najis dan mengurangkan masa sisa berada dalam usus.
Bakteria baik juga menapai serat lalu menghasilkan asid lemak rantaian pendek yang berfungsi menyihatkan sel usus dan mengurangkan keradangan.
Selain itu, serat turut membantu mengawal paras gula darah, menurunkan kolesterol, mengurangkan risiko penyakit jantung, diabetes dan sembelit.
Ia juga memberi rasa kenyang lebih lama sekali gus membantu pengurusan berat badan.
Walaupun istilah 'detoks' sering diperdebatkan, pakar mengakui serat memang berfungsi menyingkirkan toksin secara semula jadi.
Malah, makanan berserat seperti sayuran berdaun dan kekacang juga menyokong fungsi hati.
Kajian terkini turut mengaitkan diet tinggi serat dengan kesihatan mental yang lebih baik.
Rambutan antara buah tempatan yang mengandungi serat tinggi. — Gambar hiasan/Media sosial
Sumber serat di Malaysia
Di Malaysia, sumber serat sebenarnya mudah didapati. Buah-buahan tempatan seperti betik, jambu batu, pisang, mangga dan rambutan kaya dengan serat larut dan tidak larut.
Sayur-sayuran seperti sawi, kangkung, bayam, kacang panjang dan keledek pula boleh menjadi pilihan harian.
Produk bijirin penuh termasuk beras perang, roti gandum penuh dan oat kini mudah dibeli di pasar raya.
Mulakan secara berperingkat
Pakar menyarankan orang ramai memulakan fibermaxxing secara berperingkat.
Contohnya, menambah buah-buahan dalam sarapan bijirin, menukar nasi putih kepada beras perang atau memilih roti gandum penuh. Air juga perlu diminum secukupnya bagi mengelakkan sembelit.
Bagi mereka yang sukar mendapatkan serat mencukupi, suplemen psyllium boleh membantu tetapi tidak wajar menggantikan makanan sebenar.
"Kuncinya adalah variasi. Ambil pelbagai sumber serat sama ada buah, sayur, bijirin penuh atau kekacang. Dengan cara ini, tubuh mendapat manfaat penuh untuk kesihatan jangka panjang,” kata Lauren. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram