Lelaki, wanita siapa cepat move on? 5 tip untuk sembuh dari ‘luka’ perpisahan


  • Cinta
  • Rabu, 10 Sep 2025

Ramai menyangka lelaki lebih pantas kerana mudah mencari pengganti, tetapi kajian psikologi mendedahkan cerita yang berbeza.

APABILA putus cinta atau bercerai, persoalan sering timbul ialah siapa yang lebih cepat untuk move on sama ada lelaki atau wanita?

Ramai menyangka lelaki lebih pantas kerana mudah mencari pengganti, tetapi kajian psikologi mendedahkan hasil berbeza.

Menurut penyelidik Universiti Binghamton, wanita biasanya lebih terkesan pada awal perpisahan, malah emosi mereka lebih mudah terganggu. 

BACA LAGI: 'Doktor gagal kesan denyutan jantung twin A, twin B berpusing dalam rahim', ibu kongsi detik cemas ketika bersalin kembar

BACA LAGI: 'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami

Hakikatnya, kesan kehilangan sebenarnya lebih lama menghantui emosi lelaki. — Gambar Hiasan

Namun, kerana mereka lebih cenderung meluahkan perasaan dan mendapatkan sokongan sosial, proses penyembuhan yang dialami berlaku dengan lebih cepat dan menyeluruh. 

Lelaki pula sering kelihatan kuat luaran, tetapi kesan kehilangan itu sebenarnya lebih lama menghantui emosi.

Kajian dalam Journal of Positive Psychology mendapati kebanyakan individu mengambil masa sekitar 11 minggu atau tiga bulan untuk benar-benar pulih daripada luka perpisahan. 

Menariknya, tempoh itu juga digunakan ramai orang untuk membina identiti baharu, sama ada melalui hobi, kerjaya, ataupun hubungan sosial lebih sihat.

Lima cara move on secara positif

1. Amalkan 'No Contact Rule'

Pakar psikologi mengesyorkan untuk tidak menghubungi bekas pasangan sekurang-kurangnya tiga bulan pertama.

Langkah ini memberi ruang kepada otak dan emosi untuk ‘reset’ tanpa dipengaruhi interaksi lama.

2. Cari sokongan sosial yang menyembuhka

Kajian Universiti Binghamton turut menegaskan bahawa sokongan daripada rakan atau keluarga adalah faktor penting yang mempercepatkan pemulihan emosi, terutama dalam kalangan wanita. 

Meluahkan rasa kepada individu dipercayai bukan sahaja mengurangkan tekanan, malah membantu seseorang melihat situasi dari perspektif yang lebih rasional.

Segelintir individu lebih gemar mengalihkan rasa sakit dengan melakukan pelbagai jenis aktiviti sukan. — Gambar Hiasan

3. Alihkan fokus kepada aktiviti baharu

Penyelidikan dalam Journal of Experimental Psychology menunjukkan bahawa mengalihkan perhatian kepada aktiviti berbeza atau membina naratif positif tentang perpisahan dapat mengurangkan rasa sakit hati dengan lebih berkesan. 

Sama ada melalui sukan, hobi kreatif atau kerjaya, pengalihan fokus ini membantu otak membentuk pengalaman baharu yang lebih sihat, sekali gus menutup ruang untuk terus terikat dengan memori lama.

4. Beri masa penyembuhan

Purata masa untuk pulih adalah tiga bulan, namun setiap individu berbeza. 

Pakar menekankan kepentingan memberi ruang kepada diri sendiri tanpa terburu-buru mencari pengganti.

5. Jadikan pengalaman sebagai pembelajaran

Psikologi hubungan daripada Stanford menegaskan bahawa mereka yang melihat perpisahan sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri lebih cenderung bangkit dengan keyakinan baharu, berbanding individu yang membiarkan identiti mereka musnah bersama hubungan lama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram