
BAGI ramai pasangan, rutin kerja rumah sering menjadi tanggungjawab bersama, namun kadangkala satu pihak sanggup berjaga malam untuk memastikan semuanya teratur.
Perkongsian seorang wanita di Facebook menjadi tular kerana menunjukkan suaminya melakukan kerja rumah pada waktu lewat malam.
Pengasas sebuah jenama perniagaan tudung bawal, Nurul Ain memuat naik satu klip video yang memaparkan suaminya sedang mengemas di dapur mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Cabaran urus Airbnb: Rumah bersepah, bil elektrik melambung, tetapi hasil cecah RM112,000
Dalam klip yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) itu, lelaki tersebut dilihat membersihkan sinki pada kira-kira pukul 2 pagi.
"Nasib baik ada CCTV. Jadi, boleh tahu malam-malam dia pergi mana," kata Ain berseloroh.
Menurut Ain, suaminya enggan mendengar nasihatnya berhubung rutin hariannya itu walaupun kerap diingatkan.
"Saya nak marah dengan suami saya yang setiap malam tidur lewat. Dah pesan setiap malam sebelum pukul 12 tidur, tapi tetap tak dengar kata.
"Pukul 12 malam dia mula merayau ke dapur, baru nak kemas-kemas dapur sampai pukul 3 pagi," tulis Ain dalam video tersebut.
Tambahnya, walaupun suaminya bukan jenis 'kaki lepak' malam bersama rakan-rakan, beliau bimbang akan tabiatnya yang kerap tidur lewat kerana melakukan kerja rumah.
"Memang suami saya jenis tak keluar, tapi buat kerja tak kira waktu pun tak boleh juga," tegasnya.
Hantaran video itu menarik perhatian warga maya dengan ramai berkongsi pengalaman dan pandangan mereka.
"Lelaki rajin ni sebenarnya mereka hargai isteri mereka. Sama-sama cari duit, jadi sama-sama juga buat kerja rumah. Alhamdulillah, lelaki rajin ni tak perlu disuruh sebab dari kecil dah diajar buat kerja rumah tolong ibu ayah," kata Fazeera Insyirah.
Ada juga lelaki yang berkongsi rutin sama.
"Saya pun macam ini. Suka mengemas dapur pada waktu malam dan sebelum tidur, segala kain kotor dimasukkan ke mesin basuh untuk dicuci, supaya esok pagi boleh terus dijemur sebelum keluar rumah," kongsi David Maxon.
"Saya paling suka mengemas waktu malam. Itulah waktu yang paling aman untuk berkemas tanpa gangguan. Jadi, waktu siang tidak rasa terkejar dengan waktu," ujar Ad La Kin.
Tidak kurang juga, ada yang memberi nasihat agar Ain dapat menasihati suaminya menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat.
"Kena dorong dia untuk buat amalan-amalan sunat seperti solat sunat dan mengaji. Banyak dapat pahala. Kemas rumah tu bagus tapi seimbangkan dunia dan akhirat," pesan Norilah Sulong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram