
BAGI Rebecca Zeitlin, menyediakan bekal sekolah untuk anak lelakinya yang berusia lima tahun penuh dengan kejutan.
Di rumah, dia enggan sentuh roti sapuan mentega kacang bersama jem.
Tetapi apabila dibekalkan ke sekolah bersama buah, sayur dan sedikit snek manis, habis licin dimakannya.
BACA LAGI: Rak buku, mini 'island' antara 6 idea kreatif pisahkan dapur, ruang tamu tanpa perlu bina dinding
BACA LAGI: Anak kongsi kisah kasih sayang ibu dan nenek hingga hujung nyawa, meninggal dunia selang sehari
Begitu juga dengan sos epal yang mana ketika di majlis pra-sekolah, anaknya makan bersungguh-sungguh, tetapi jika dihidangkan di rumah, terus ditolak.
Kini, apabila anaknya melangkah ke sekolah rendah, Rebecca mula merancang bekalnya dengan lebih teliti.
Jika di pra-sekolah guru boleh pantau apa yang anak makan, situasi di sekolah baru jauh berbeza.
Rebecca sudah pun menyediakan bekas makanan baharu.
Antara pilihan awalnya ialah 'nugget' ayam, pasta, atau buah-buahan segar seperti strawberi, oren dan tembikai.
Namun, katanya, "Apa yang dirancang mungkin berubah bila realiti bermula."
Bekal anak, cabaran ibu bapa
Bagi ibu bapa dengan anak kecil, menyediakan bekal sekolah bukan sekadar soal kenyang.
Ia juga melibatkan selera, suasana dan kreativiti.
Media sosial penuh dengan idea bekal berbentuk comel ala 'bento', lengkap dengan sayur dan buah dipotong rapi.
Ada yang berkongsi resipi, ada yang mempamerkan bekas makan pelbagai gaya.
Tetapi pakar mengingatkan, ibu bapa tidak perlu terlalu tertekan jika anak pulang dengan bekal tak habis.
Apa patut ada dalam bekal anak?
Menurut Lori Russell, pakar diet dari Mayo Clinic, suasana sekolah yang baru boleh buat anak hilang fokus untuk makan.
Kadang-kadang mereka bukan tak suka makanan, cuma terlalu teruja atau terganggu dengan keadaan sekeliling.
Katanya, utamakan makanan yang anak sudah kenal dan jangan beri terlalu banyak pilihan sekali gus.
Cukup dengan satu makanan utama dan dua hingga tiga snek sampingan seperti lobak merah, epal atau seketul coklat kecil.
Pakar diet lain, Anet Piridzhanyan dari Children’s Hospital Los Angeles, pula menasihatkan supaya ibu bapa selang-selikan lima kumpulan makanan sepanjang minggu seperti buah, sayur, bijirin, protein dan tenusu.
Jika mahu perkenalkan makanan baharu, gabungkan dengan makanan kegemaran anak supaya lebih mudah diterima.
Katanya, "Bagi mereka, setiap hari adalah pengalaman baharu. Mereka masih belajar mengenali makanan."
Kotak bekal juga penting
Selain isi, bekas makanan juga perlu diberi perhatian.
Pastikan anak mudah buka sendiri, tidak terlalu berat dan dilengkapi dengan sudu garpu kecil serta tisu.
Kotak jenis bento yang ada ruang berasingan semakin popular kerana praktikal dan menarik.
Malah, pilihan dengan watak kartun kegemaran boleh menaikkan semangat anak untuk makan.
Russell berkata, "Ia bukan sekadar apa yang ada dalam bekas, tetapi pengalaman membukanya, membawanya dan menikmatinya."
Bila anak tak makan bekal
Jika anak pulang dengan bekal tak berusik, cuba tanyakan sebab dan mengapa.
Kadang-kadang roti jadi lembik, epal berubah warna, atau pasta sudah kembang selepas lama disimpan.
Ibu bapa juga boleh berbincang dengan guru untuk tahu bagaimana makanan disimpan.
Ada sekolah yang menyediakan peti sejuk, ada juga yang hanya letakkan beg makanan di dalam kelas.
Solusi mudah mungkin dengan menambah pek ais atau menggunakan termos.
Sentuhan kecil, kesan besar
Persembahan makanan boleh membantu, tetapi tak perlu keterlaluan.
Sekadar memotong roti dengan acuan comel atau menambah pelekat kecil sudah cukup untuk buat anak teruja.
Bagi Rebecca, dia sudah merancang sesuatu yang lebih istimewa.
Apabila anaknya pandai membaca nanti, dia mahu menyelitkan nota ringkas atau lawak jenaka dalam bekalnya sebagai semangat setiap hari. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram