[VIDEO] Cabaran urus Airbnb: Rumah bersepah, bil elektrik melambung, tetapi hasil cecah RM112,000


  • Hias
  • Rabu, 10 Sep 2025

Penginapan jangka pendek menjana keuntungan, namun agak berisiko apabila mendapat penyewa yang kurang bertanggungjawab.

TIDAK semua penyewa meninggalkan kediaman sewaan dalam keadaan baik. 

Itulah realiti yang dikongsi seorang pengusaha Airbnb, Izzuddinairbnb menerusi satu rakaman video di TikTok yang memaparkan keadaan sebuah unit kediaman di Trion selepas disewa tetamu selama dua bulan.

Menurutnya, walaupun rumah kelihatan bersepah selepas penyewa baharu sahaja daftar keluar sekitar pukul 5.15 petang, situasi sebegitu bukan lagi asing bagi pengusaha Airbnb.

“Kadang-kadang dapat tetamu yang jaga rumah elok, keluar pun bersih. Tapi ada juga yang tinggalkan lintang-pukang sebab mereka tahu ada cleaner disediakan. Itu memang sebahagian daripada game bila urus Airbnb,” katanya.

BACA LAGI: Lelaki, wanita siapa cepat move on? 5 tip untuk sembuh dari ‘luka’ perpisahan

BACA LAGI: Sepsis, pendarahan antara komplikasi punca kematian wanita hamil atau selepas bersalin — Pakar

Tidak hanya itu, Izzuddin menjelaskan beliau mempunyai rutin tetap setiap kali penyewa meninggalkan kediaman yang diurusnya.

Antara perkara utama yang diperiksa ialah sistem pencahayaan, keadaan tandas, serta fungsi televisyen termasuk sambungan ke internet.

Pemeriksaan ini dilakukan bagi memastikan segala kemudahan berada dalam keadaan baik sebelum penyewa baharu memasuki unit berkenaan.

 

Keadaan sebuah unit kediaman di Trion selepas disewa tetamu selama dua bulan.

“Setiap kali tetamu keluar, saya akan pastikan lampu berfungsi, paip tandas tidak tersumbat dan televisyen dapat disambungkan ke rangkaian WiFi. Jika ada kerosakan, saya boleh ambil tindakan segera sebelum tetamu seterusnya masuk,” jelasnya.

Beliau turut meletakkan alat pembasmi serangga di dalam peti surat unit berkenaan sebagai langkah awal sekiranya berlaku aduan daripada penyewa mengenai kehadiran semut atau lipas.

Bagaimanapun, cabaran yang lebih besar pernah dihadapinya apabila terdapat penyewa menggunakan elektrik secara berlebihan sehingga bil mencecah lebih RM630.

Situasi itu memaksanya membuat tuntutan bayaran semula kepada pihak Airbnb yang akhirnya diluluskan.

Di sebalik cabaran, Izzuddin tetap optimis dengan potensi platform penginapan jangka pendek itu.

Sejak Januari tahun ini, beliau berjaya menjana sekitar RM112,000 hasil sewaan beberapa unit yang diuruskan, dengan projek Trion menjadi penyumbang utama pendapatan.

“Trion memang antara kawasan paling laris. Kebanyakan pelancong luar negara memang mencari projek ini khususnya apabila mereka membuat tempahan Airbnb di Kuala Lumpur. Sebab itu, unit di sini mempunyai kadar pulangan yang tinggi,” katanya.

Katanya, reputasinya sebagai pengurus kediaman sewaan turut menarik minat pemilik rumah lain untuk menyerahkan unit masing-masing untuk diuruskan.

Malah, beliau kini merancang menambah lebih banyak unit di Trion sebagai strategi memperluaskan lagi operasi Airbnb miliknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram