
MEMILIH cincin kahwin khususnya yang bertatahkan berlian bukan sekadar soal gaya tetapi juga keputusan besar dari segi nilai dan simbolik.
Ramai pasangan baharu mudah terkeliru kerana berlian kelihatan hampir sama pada pandangan mata, tetapi harganya boleh berbeza jauh.
Di sinilah pentingnya memahami asas penilaian berlian, iaitu 4C yang merujuk kepada Cut (Potongan), Color (Warna), Clarity (Kejernihan) dan Carat (Berat).
BACA LAGI: Cara persiapan bekalan makanan ke sekolah bantu naikkan selera makan anak
Sebelum membuat pembelian, panduan berikut sesuai untuk dirujuk terutama sekali dalam kalangan bakal raja sehari:
1. Potongan
Potongan adalah faktor paling utama. Potongan yang baik memastikan berlian memantulkan cahaya dengan sempurna dan kelihatan lebih berkilau.
Menurut bekas Penganalisis Kanan Industri di badan antarabangsa paling berpengaruh dalam bidang gemologi dan penilaian berlian, Gemological Institute of America (GIA) iaitu Russel Shor, potongan adalah penentu utama kilauan berlian.
"Potongan sebenarnya adalah penentu sama ada anda memiliki berlian yang indah atau tidak kerana itulah yang menghasilkan kilauan
Jadi, jika bajet terhad, lebih baik pilIh berlian dengan potongan yang baik walaupun saiznya sedikit kecil
Kilauan akan lebih jelas berbanding berlian besar dengan potongan sederhana.
Gred D dianggap tidak berwarna dan paling bernilai. — Agensi
2. Warna
Warna pula memberi kesan kepada harga. Bagi berlian, semakin kurang warna, semakin tinggi nilainya.
Menurut Gia, skala penggredan warna untuk berlian adalah menepati standard industri
Ia bermula dengan D yang mewakili tidak berwarna, kemudian diteruskan dengan peningkatan kehadiran warna kepada Z atau kuning muda atau coklat.
Kebiasaannya, berlian gred D hingga F dianggap tidak berwarna dan paling mahal.
Namun, untuk cincin kahwin, ramai pakar mencadangkan pembeli boleh memilih gred G hingga I kerana mata kasar hampir tidak dapat membezakan warnanya, tetapi harganya jauh lebih berpatutan.
Pilihan ini membolehkan anda menyalurkan bajet kepada aspek lain seperti reka bentuk cincin atau potongan yang lebih baik.
VS2 biasanya sudah memadai kerana kecacatan kecilnya tidak kelihatan dengan mata kasar. — Agensi
3. Kejernihan
Kejernihan pula menilai sama ada terdapat kecacatan dalaman atau luaran. Berlian tanpa cela memang sempurna, tetapi harganya juga sangat mahal.
Untuk cincin kahwin, gred VS1 atau VS2 biasanya sudah memadai kerana kecacatan kecilnya tidak kelihatan dengan mata kasar.
Berdasarkan Gia, berlian yang langsung tidak mempunyai kecacatan dinilai sebagai 'flawless' dan mempunyai nilai lebih tinggi.
Dedah Gia, perkara itu jarang sekali berlaku dan kebanyakan tukang emas tidak pernah melihatnya.
Dengan memilih kejernihan sederhana, anda masih boleh mendapatkan berlian cantik tanpa perlu membayar lebih untuk kecacatan yang tidak pun kelihatan.
Berlian ditimbang dalam metrik karat. — Agensi
4. Berat
Berat sering dianggap penentu utama harga, tetapi hakikatnya tidak semestinya begitu.
Berlian dan batu permata ditimbang dalam karat metrik. Satu karat bersamaan dengan 0.2 gram (g) yang mana beratnya sama seperti klip kertas.
Berlian besar tidak akan kelihatan cukup mewah jika potongan, warna atau kejernihannya rendah.
Malah, perbezaan kecil seperti 0.95 carat dengan 1.00 carat boleh menjadikan harga jauh berbeza walaupun saiz hampir sama.
Justeru, bakal pegantin jangan hanya mengejar carat kerana nilai keseluruhan 4C perlu diambil kira. Kadang-kala berlian kecil tetapi berkualiti tinggi lebih menarik berbanding yang besar tetapi kurang bersinar.
Memilih berlian untuk cincin kahwin bukan tentang mendapatkan yang paling mahal, tetapi yang paling sesuai dengan bajet dan citarasa.
Utamakan potongan yang baik, pilih warna dan kejernihan yang seimbang serta jangan terikat pada angka carat semata-mata.
Dengan pengetahuan asas ini, pasangan boleh mendapatkan cincin kahwin yang bukan sahaja indah dipakai pada hari istimewa, tetapi juga bernilai untuk jangka masa panjang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram