Kos kahwin anak bilionair teknologi China-AS Becca Bloom cecah RM26 juta, anggun gayakan gaun ‘laser cut’ Oscar de la Renta


  • Gaya
  • Isnin, 08 Sep 2025

Becca menyarung gaun Oscar de la Renta khas dengan motif bunga peony potongan laser pada hari upacara perkahwinan. — Instagram/@beccaxbloom

PERSONALITI media sosial dengan lebih enam juta pengikut, Rebecca Ma atau lebih dikenali sebagai Becca Bloom, akhirnya menamatkan zaman bujang bersama jurutera perisian, David Pownall selepas hampir empat tahun bercinta.

Pasangan romantis itu mula berkenalan pada 28 Disember 2019 di Palo Alto, Amerika Syarikat (AS).

Pada 23 Julai 2023, David melamar Becca di Positano, Itali, semasa menaiki bot peribadi sewaktu matahari terbenam, menjadikan momen itu istimewa dan romantik.

BACA LAGI: Ilmu dipelajari di universiti mungkin berbeza, tapi setiap kemahiran, latihan berharga ketika bekerja — Hannah Yeoh

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas kantoi skandal dengan CEO Astronomer di 'kiss cam' konsert Coldplay, ketua HR tuntut cerai pada suam

Menariknya, majlis perkahwinan Becca dan David di Villa Balbiano, Lake Como, Itali pada 28 Ogos lalu masih menjadi bualan ramai dan menghiasi media cetak dan media elektronik termasuk media sosial.

Acara berlangsung sepanjang hujung minggu dan dirancang secara intim itu hanya dihadiri kira-kira 60 tetamu termasuk keluarga dan sahabat rapat.

Pasangan tersebut memilih lokasi tepi tasik yang romantik dan tema santai, tetapi elegan sesuai dengan personaliti mereka.

Sepanjang hujung minggu, Becca tampil dengan beberapa busana utama.

Ketika ketibaan dan rehearsal makan malam, beliau mengenakan mini dress Oscar de la Renta warna merah jambu dan putih dengan bunga tiga dimensi (3D) besar.

Penampilan tersebut digayakan bersama barang kemas Bvlgari Tubogas, termasuk rantai emas ros bertatah rubellite dan berlian, anting-anting serta gelang sepadan.

Sementara itu, David pula memakai sut cream Ralph Lauren Purple Label.

Malam sebelum upacara perkahwinan berlangsung turut menampilkan gaun vintaj Chanel couture koleksi cruise 2003 dengan motif aiskrim, dipadankan dengan kasut Rene Caovilla dan barang kemas Bvlgari, manakala David memakai sut Thom Browne.

Pada hari upacara perkahwinan, Becca menyarung gaun Oscar de la Renta khas dengan motif bunga peony potongan laser yang menjadi simbol bunga keluarga dan warisan China.

Kasut Chanel putih dan barang kemas Van Cleef & Arpels daripada koleksi Folie des Pres termasuk cincin pertunangan dan cincin kahwin Tiffany Victoria melengkapkan penampilan beliau.

David sekali lagi memakai sut rekaan Thom Browne yang sesuai dengan tema majlis.

Upacara bertambah menarik apabila diadakan di taman luar villa menghadap tasik dengan muzik dimainkan secara langsung, termasuk lagu kegemaran Becca, Can’t Help Falling in Love.

Resepsi berlangsung dalam khemah kaca berhias bunga segar, lampu hiasan dan meja panjang dengan menu bertemakan bunga.

Becca kemudiannya menukar pakaian kepada gaun Oscar de la Renta koleksi musim bunga 2025 dengan motif kaca retak dan bunga mawar, dipadankan dengan kasut Christian Louboutin.

Keseluruhan majlis menekankan gabungan kemewahan dan suasana peribadi dengan beberapa busana utama Becca daripada Oscar de la Renta dan Chanel, barang kemas daripada Bvlgari, Van Cleef & Arpels dan Tiffany serta lokasi ikonik di Lake Como.

Di luar kehidupan perkahwinan, beliau merupakan usahawan muda, sosialit dan pempengaruh berprofil tinggi dari AS, pengasas platform tuisyen dalam talian StudyPal untuk pelajar di China serta pengasas bersama jenama pengecas telefon mudah alih, Hearth Wireless Chargers.

Walaupun bergelar usahawan, Becca lebih dikenali kerana kejayaan luar biasa dalam media sosial.

Popularitinya melonjak hasil perkongsian gaya hidup mewah, termasuk koleksi barang kemas Bulgari, sarapan kaviar untuk kucing peliharaannya dan malam janji temu romantis bersama David Pownall.

Anak kepada pasangan usahawan teknologi Simon Yiming Ma dan Heidi Chou itu juga tersenarai dalam Time 100 Best Creators List pada Julai 2025 dan menandatangani kontrak dengan agensi bakat antarabangsa United Talent Agency (UTA). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram