
NAMA Datin Gauri Khan sering disebut bukan hanya kerana statusnya sebagai isteri kepada pelakon Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan, tetapi juga kerana pengaruhnya sebagai pereka dalaman, usahawan dan figura bergaya dalam industri seni tanah air mereka.
Baru-baru ini, beliau muncul dalam hantaran video di laman Facebook yang mengetengahkan dunia pelancongan dari India, Curly Tales.
Menerusi sesi temu bual santai berdurasi kurang daripada satu minit itu, Gauri tampil anggun dalam busana serba merah yang sederhana namun tetap anggun sambil menjawab soalan pantas bertajuk '59 saat bersama Gauri Khan'.
Dalam sesi berkenaan, beliau berkongsi sisi peribadi termasuk hobi, cita rasa makanan dan kehidupan seharian keluarganya.
Ditanya tentang apa yang sering dilakukan ketika waktu lapang, beliau gemar mengisinya dengan mencari laman rencana di Instagram.
Bagi 'cheat day' pula, beliau mengakui sukar menolak keenakan manisan.
"Selalu pilih coklat', katanya sambil tersenyum.
Ditanya pula mengenai suasana hujung minggu di kediaman keluarganya, beliau menggambarkannya sebagai satu suasana yang sangat tenang dan relaks.
Selain itu, ibu kepada tiga orang anak itu turut menitipkan nasihat kepada ibu bapa lain yang membesarkan anak kecil dan besar pada masa sama.
"Sabar, sabar dan sabar", tegasnya yang mengganggap kesabaran sebagai kunci utama dalam membesarkan anak-anak.
Bagi beliau, koleksi barang kemas jenama miliknya, Zoya menjadi antara yang paling berharga buatnya ketika ini.
Beliau menyifatkan rekaan Zoya sebagai koleksi yang bermakna dan elegan selain menarik kerana setiap satu daripadanya hadir dengan kisah tersendiri yang dekat dengan dunia wanita.
Dalam kehidupan peribadinya, beliau berkahwin dengan Datuk Shah Rukh Khan sejak 1991 dan dikurniakan tiga orang anak, iaitu Aryan, Suhana dan Abram.
Wanita berusia 55 tahun itu juga merupakan pengasas Gauri Khan Designs, iaitu sebuah studio rekaan dalaman terkemuka di Mumbai yang pernah menghasilkan projek untuk selebriti Bollywood ternama.
Selain itu, beliau turut terbabit sebagai penerbit bersama suaminya melalui syarikat filem Red Chillies Entertainment. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram