
“TIADA istilah perempuan cari nafkah dalam Islam.”
Demikian penegasan pendakwah, Ustazah Nazirah Abu Bakar yang mengingatkan para isteri agar tidak terbiasa mengambil alih tanggungjawab kewangan suami sehingga menghakis peranan lelaki sebagai ketua keluarga.
Menurutnya, walaupun wanita dibenarkan bekerja, mereka perlu memahami batasan serta prinsip yang digariskan oleh syariat.
Nazirah berkata, tindakan isteri yang terlalu kerap menanggung beban kewangan rumah tangga boleh memberi kesan buruk terhadap institusi perkahwinan.
“Kadang-kadang kerana simpati, isteri kata, ‘tak apalah bang, saya bayar dulu’. Lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan sehingga suami beranggapan semua perbelanjaan boleh diuruskan oleh isteri.
“Akhirnya, suami berlepas tangan. Bila keadaan ini berlaku, wanita sebenarnya sedang memudaratkan diri sendiri tanpa sedar,” jelasnya.
Tambah Ustazah Nazirah, sikap wanita yang terlalu mudah memberi ruang untuk suami bergantung pada mereka boleh melemahkan kewibawaan lelaki dalam melaksanakan tanggungjawab yang ALLAH amanahkan.
“Peranan isteri bukanlah mencari nafkah. Kalau kita biasakan dengan pemberian, kita sebenarnya mengasuh suami untuk gagal menjadi ketua keluarga. Itu yang akhirnya menzalimi diri sendiri,” tegas beliau.
Justeru, beliau menasihati wanita agar tetap berprinsip dalam menguruskan kewangan rumah tangga dan tidak terlalu terikut-ikut dengan arus masyarakat moden sehingga melanggar garis panduan Islam.
“Bekerja boleh, tapi jangan sampai hilang prinsip. Islam sudah menetapkan peranan masing-masing, kita perlu ikut syariat, bukan semata-mata adat atau trend masyarakat,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram