[VIDEO] 'Saya anak bongsu yang menyusahkan', budak lelaki teresak-esak, sering jadi bahan ejekan abang


  • Bonda
  • Selasa, 09 Sep 2025

Kadang-kala, kanak-kanak juga memendam perasaan yang sukar diluahkan kepada orang sekeliling. — Gambar hiasan/Janaan AI

LUAHAN jujur daripada seorang kanak-kanak mampu membuka mata orang dewasa tentang betapa dalamnya perasaan seorang anak kecil.

Meskipun sering dianggap tidak tahu apa-apa, mereka sebenarnya menyimpan rasa, impian dan doa yang kadang-kala tidak terucap.

Itu yang berlaku dalam sebuah sesi motivasi di sekolah apabila perkongsian seorang murid bernama Ashraf menyentuh hati ramai sehingga mengundang sebak warga maya.

BACA LAGI: 'Sayang kawan kena berpada, keep your circle small', Shila Amzah mahu hidup tenang pada usia 30-an

BACA LAGI: 'Brisk walk' lebih selamat buat ibu hamil berbanding maraton — Dr. Faizatunnor

Satu klip berdurasi tidak lebih enam minit memaparkan lapan orang murid sekolah rendah berkongsi impian serta perasaan mereka kepada seorang penceramah jemputan di sekolah terlibat.

Rakaman itu dimuat naik oleh penceramah, Zack Zawani menerusi akaun TikTok miliknya.

Dalam sesi berkenaan, Ashraf meluahkan rasa terhadap keluarganya sambil menangis teresak-esak. Katanya, walaupun sering diejek abangnya, beliau tetap bersabar dan terus menyayangi ibu bapa serta ahli keluarganya.

"Walaupun saya selalu kena ejek dengan abang saya tapi saya tetap bersabar dan saya sayang mak ayah saya," katanya.

Ashraf turut berkongsi harapannya untuk menjadi anak yang mulia dan bertekad mahu membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah apabila dewasa nanti meskipun menganggap dirinya anak bongsu yang selalu menyusahkan.

Malah, Ashraf juga percaya bahawa setiap teguran dan marah daripada keluarga bukanlah tanda benci, sebaliknya lambang kasih sayang.

"Saya tahu walaupun abang saya selalu ejek saya tapi saya tahu walaupun abang atau kakak saya atau satu keluarga saya marahkan saya, itu tandanya dia sayangkan saya," ujarnya.

Luahannya itu membuat ramai warga maya tersentuh. Rata-rata warga maya menzahirkan rasa simpati dan menganggap Ashraf seorang kanak-kanak yang matang, tinggi empati serta sangat menghargai keluarganya.

"Alert mak ayah Asyraf! Tolong ambil perhatian. Anak ini sangat bijak, tinggi empati dan simpati," komen @misfarra.

"Bayangkan sekali kita sebut anak menyusahkan atau menghabiskan beras, doa itu dimakbulkan. Anak-anak adalah amanah, jagalah mereka sebaiknya," tulis @nrr.arsyaaa_.

"Adik Ashraf ni betul-betul meluahkan apa yang terbuku di hati. Lihatlah hasilnya," kata @maizattul5. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram