
PELAKON dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana berkongsi pengalaman peribadi tentang mimpi indah anak perempuannya, Arwan Malaikha Urwa sehari sebelum beliau berangkat menyertai misi kemanusiaan ke luar negara.
Menerusi potongan klip dari siaran langsung di TikTok, Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, menceritakan bahawa anaknya yang berusia lima tahun itu buat pertama kali bermimpi tentang syurga.
Mimpi tersebut turut menggambarkan Ardell berada bersama anaknya dengan berpakaian serba putih.
BACA LAGI: Bekas atlet lawan pedang negara kini model, Ayse Nur Hikmet teruja kongsi minat fesyen dengan anak
"Hari yang esok nak berlayar, tiba-tiba dia cakap dengan saya, 'Urwa mimpi indah. Kali pertama Urwa mimpi indah. Mimpi syurga.’ Saya tanya, syurga? Cantik tak syurga?
"Dia jawab, umi ada, umi pakai baju putih. Dia kata umi cantik sangat," kongsi Ardell dalam nada sebak sambil menambah bahawa beliau jarang sekali memakai pakaian berwarna putih.
Menurut Ardell, anaknya turut menyebut bahawa ALLAH berpesan supaya dirinya sentiasa menghormati dan menyayangi ibu.
"Dia cakap, ALLAH pesan jangan lawan cakap umi. Kena sayang umi,” kata ibu kepada dua cahaya mata Arwan Malaikha Urwa dan Arwa Uthman Affan.
Mimpi itu kata Ardell, memberi ketenangan dan kekuatan untuknya meninggalkan keluarga demi tugasan.
"Saya rasa hebatnya, budak lima tahun boleh cakap macam tu. Alhamdulillah, ALLAH bagi dia mimpi indah. Sekurang-kurangnya dia gembira," ujarnya.
Sebelum beliau berangkat, anaknya turut memberi pesanan agar Ardell membantu mereka yang memerlukan, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk meneruskan misinya.
"Pergilah tolong kawan-kawan Urwa dekat sana. Kesian, mereka lapar. Bagi mereka makan. Jangan takut tau, ALLAH ada," cerita isteri kepada selebriti, Nadzmi Adhwa itu lanjut.
Sekadar info, baru-baru ini Ardell berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama selebriti Zizi Kirana sebagai wakil Malaysia untuk menyertai delegasi pertama menuju ke Sepanyol.
Dari sana, mereka akan memulakan pelayaran bersama aktivis antarabangsa lain dalam misi Global Sumud Flotilla yang bertujuan membawa mesej solidariti dan menuntut keadilan kemanusiaan peringkat global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram