
MAJLIS perkahwinan tidak lengkap tanpa jurufoto dan juruvideo yang merakam detik istimewa pasangan raja sehari.
Bukan hanya untuk majlis perkahwinan, malah acara lain juga sering mengundang jurufoto dan juruvideo bagi mengabadikan momen indah sebagai kenangan.
Tidak kira sama ada majlis dibuat secara besar-besaran atau sederhana, kehadiran mereka dianggap penting kerana melalui gambar dan video sahajalah memori mampu diulang semula, mengubat rindu dan mengingatkan kepada detik-detik berharga dalam kehidupan.
BACA LAGI: Wanita korban kerjaya untuk pulang ke kampung, pikul tanggungjawab jaga ayah uzur
Namun, selain jurufoto dan juruvideo, kini muncul satu lagi kerjaya baharu yang semakin mendapat tempat, iaitu wedding content creator atau pencipta kandungan majlis perkahwinan.
Walaupun umum sudah memahami makna content creator, tidak ramai yang benar-benar jelas tentang tugas seorang wedding content creator.
Menurut Farah Dafri yang sudah menjalankan servis itu sejak 2023, peranan mereka lebih menumpukan kepada momen yang sering terlepas daripada lensa jurufoto dengan hasil yang kelihatan lebih spontan dan natural.
"Selalunya, saya merakam detik-detik di sebalik tabir. Ia bukan sekadar tentang pengantin, tetapi juga tentang keluarga, tetamu, suasana dan semua yang meraikan majlis itu," jelasnya kepada Majoriti.
Selain itu, detik-detik yang dirakam oleh pencipta kandungan majlis perkahwinan dimuat naik segera sewaktu resepsi sedang berlangsung.
Kata wanita berusia 34 tahun itu, beliau bertanggungjawab untuk merakam, menyunting dan memuat naik menerusi akaun pengantin terlibat yang dilog masuk menggunakan telefonnya dengan kadar segera.
Meskipun perlu melaksanakan pelbagai tugas dalam satu masa, beliau mengakui tetap menghargai setiap proses tersebut.
"Saya tidak rasa tertekan. Saya hargai setiap proses. Semua ini adalah hasil daripada pengalaman saya sebelum ini," katanya sambil menambah beliau bukan sahaja menumpukan kepada momen indah, tetapi turut memastikan penampilan pengantin sentiasa terjaga.
Permulaan Sisi Indah
Farah yang memulakan kerjaya sebagai penulis blog sebelum beralih kepada dunia pencipta kandungan berkata, pengalaman itu banyak membantunya memahami konsep bercerita melalui visual.
Membawa servis dengan jenama Sisi Indah, lulusan kejuruteraan kimia dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkenaan menjelaskan nama tersebut lahir daripada komen positif salah seorang klien yang menganggap beliau pandai memilih sudut wajah pengantin yang cantik.
Bukan itu sahaja, istilah tersebut sudah cukup untuk menggambarkan servis yang ditawarkan.
"Setiap orang ada fasa turun naik, ada sisi gelap dan indah. Melalui hasil kerja saya, saya mahu pengantin ingat semula bahawa mereka juga punya sisi indah, tidak perlu hanya fokus kepada sisi gelap," katanya.
Momen paling bermakna
Bagi wanita kelahiran Kuantan, Pahang tersebut, momen paling bernilai adalah saat-saat melibatkan insan tersayang, khususnya mereka yang sudah berusia.
"Saya gemar merakamkan detik bersama nenek atau datuk kerana ia akan menjadi memori yang tidak ternilai selepas ketiadaan mereka. Saya juga suka tangkap momen-momen spontan dan kecoh di belakang tabir, kerana di situlah emosi sebenar terserlah,” tambahnya.
Cabaran di sebalik lensa
Walaupun kedengaran mudah, kerjaya itu tidak terlepas daripada cabaran. Farah sendiri pernah berdepan situasi kurang menyenangkan ketika bertugas di sebuah majlis.
"Satu momen yang paling saya ingat, saya pernah dimarahi Tok Kadi. Beliau ingatkan saya hanyalah tetamu yang sibuk mengambil gambar.
"Perkara itu berlaku di depan orang ramai dan membuatkan saya sedar, saya perlu memperkenalkan identiti diri dengan lebih jelas," kongsinya.
Sejak itu, Farah mengambil langkah profesional untuk memastikan orang ramai tahu peranannya di sesebuah majlis.
"Selepas kejadian itu, saya mula memakai vest dengan tulisan servis saya di belakang. Dengan cara ini, orang nampak saya sedang bekerja dan memberi ruang untuk saya menjalankan tugas tanpa gangguan," jelasnya.
Beliau turut pernah berhadapan dengan situasi cemas seperti storan telefon penuh dan capaian internet perlahan.
Bagi menangani isu tersebut, Farah mengambil langkah menggunakan tiga buah telefon dengan rangkaian telko berbeza bagi memastikan kerja dapat dilakukan tanpa gangguan.
Ditanya mengenai potensi terlepas momen penting, Farah berkata ia jarang berlaku. Namun sekiranya situasi itu terjadi, jurufoto biasanya akan meminta pengantin mengulang kembali babak yang terlepas.
Sebelum mengakhiri temu bual, beliau sempat berkongsi mengenai kemungkinan ada segelintir keluarga pengantin yang enggan memaparkan segala detik di media sosial.
Beliau tidak menafikan senario itu memang wujud.
Bagi mengelakkan salah faham, Farah akan memastikan perkara itu dimaklumkan lebih awal.
"Sebelum majlis bermula, saya akan meminta pengantin untuk memberitahu keluarga mereka tentang kehadiran saya serta peranan saya. Dengan cara itu, tiada pihak yang terkejut atau salah faham," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram