'Ada hari saya menangis tapi tetap teruskan', Yuna akui hilang ribuan pengikut, tawaran konsert luar negara selepas aktif berkongsi konten 'tembikai'


  • Maya
  • Selasa, 02 Sep 2025

Meskipun berdepan kesukaran, Yuna tetap berpegang pada kekuatan diri untuk meneruskan perjuangannya.

GARA-GARA aktif berkongsi kandungan berkaitan isu kemanusiaan, penyanyi dan komposer, Yuna mendedahkan beliau berdepan detik sukar susulan daripada tindakannya itu.

Perkara tersebut dikongsikan Yuna dalam satu hantaran story di akaun Instagram miliknya pada Isnin.

Kata Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai, 39, beliau menyedari ada segelintir individu yang mempunyai jumlah pengikut besar namun memilih untuk berdiam diri, sedangkan masyarakat dunia sedang menyaksikan pelbagai kekejaman berlaku.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami tunggu awak pulang', suami sokong perjuangan Ardell Aryana sejak bujang dalam misi kemanusiaan

BACA LAGI: Ketahui kesannya bila anak berasa dipinggirkan, implikasi akibat ibu bapa pilih kasih

Yuna turut mengakui tidak lagi menerima tawaran konsert di luar negara. — Instagram/@yuna

"Saya lihat ramai yang ada pengikut besar dan platform luas tidak berkata apa-apa, sedangkan kita semua sedang menyaksikan perkara mengerikan berlaku di depan mata. Mereka sudah hilang jiwa," tulis penyanyi Terukir di Bintang itu.

Dedahnya lagi, akibat konsisten berkongsi konten berkaitan 'tembikai’, beliau kehilangan ribuan pengikut, beberapa rakan serta tidak lagi menerima tawaran persembahan di luar negara.

"Sejak saya mula berkongsi mengenai isu kemanusiaan, saya kehilangan kerja, ada juga yang saya terpaksa tolak. Saya hilang kawan, tidak lagi dapat tawaran konsert luar negara serta hilang lebih 4,000 pengikut," jelasnya.

Beliau turut memberi bayangan bahawa akaun media sosialnya berdepan sekatan apabila sebahagian peminatnya tidak boleh melihat hantaran yang dimuat naik.

Berkongsi lanjut tentang keadaan emosinya, Yuna mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi.

"Ada hari saya rasa teruk, ada hari saya rasa sedikit berharap. Ada masanya sukar bila orang yang saya bekerjasama berpura-pura tiada apa-apa berlaku.

"Saya sudah tidak boleh rapat dengan mereka. Ada hari saya menangis, tetapi setiap hari jiwa saya tetap ada.

"Dengan jiwa yang masih kuat, saya tahu saya akan baik-baik saja," katanya.

Walaupun melalui saat getir, Yuna tetap berpegang pada kekuatan diri untuk meneruskan perjuangannya.

"Rahsianya ialah terus bernafas. Kerana itu yang mereka mahu supaya kita rasa putus asa. Tetapi kita mesti teruskan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram