
KEHIDUPAN rumah tangga bukan sekadar tinggal sebumbung, tetapi bagaimana pasangan mencipta momen kecil yang mengikat kasih sayang setiap hari.
Pakar perubatan, Dr Samhan menegaskan, detik sebelum tidur adalah saat paling berharga untuk suami isteri mengeratkan hubungan, bukannya hanya baring dan terus lena.
Dalam hantaran di laman Threads, beliau berkata ramai pasangan terlepas pandang perkara ini kerana terlalu penat atau sibuk dengan telefon bimbit, sedangkan waktu tersebut boleh menjadi ruang terbaik untuk menambah mesra dalam perkahwinan.
Sentuhan fizikal bersama pasangan terbukti dapat menurunkan tahap stres serta merangsang hormon oksitosin. — Gambar Hiasan
Antara amalan kecil tetapi besar kesannya yang disarankan beliau termasuk:
Luangkan masa berbual
Sekadar bertanya khabar dan mendengar cerita pasangan selepas seharian penat bekerja sudah cukup untuk membuat pasangan berasa dihargai.
Perbualan ringkas juga membantu menguatkan komunikasi dan mengelakkan salah faham.
Pegangan tangan dan pelukan
Sentuhan fizikal terbukti dapat menurunkan tahap stres serta merangsang hormon oksitosin atau lebih dikenali sebagai hormon kasih sayang.
Ia bukan sahaja memberi ketenangan emosi, malah membantu pasangan tidur lebih lena.
Solat bersama pasangan boleh menjadi pengikat rumah tangga. — Gambar Hiasan.
Doa bersama
Amalan membaca doa atau zikir sebelum tidur, apabila dilakukan bersama boleh menambahkan rasa tenang serta menguatkan ikatan agama antara suami isteri.
Ucapan terima kasih dan maaf
Ungkapan ringkas seperti terima kasih atau maaf membawa makna besar dalam menjaga hati pasangan.
Ia mengelakkan perasaan terbuku dan memastikan pasangan menutup hari dengan suasana lebih harmoni.
Menurut Dr Samhan, kebahagiaan rumah tangga tidak semestinya hadir daripada perkara besar, sebaliknya konsistensi dalam amalan kecil inilah yang mampu membawa kedamaian dan kebahagiaan jangka panjang.
“Suami perlukan isteri, isteri perlukan suami. Bila saling memahami, barulah hubungan jadi lebih tenang, mesra dan bahagia,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram