
BELUM pun mencecah usia 30 tahun, seorang wanita dikejutkan dengan keputusan pemeriksaan kesihatan yang menunjukkan dirinya sudah berada dalam kategori pradiabetes.
Kes itu dikongsikan oleh pakar perubatan dalaman (Sp.PD) Dr. Camoya Gersom, yang menegaskan bahawa punca utama keadaan tersebut bukan kerana kurang bersenam, tetapi akibat tabiat diet terlalu ketat semata-mata untuk kelihatan kurus dan awet muda.
Menurut Dr. Camoya, pesakit terbabit mengamalkan pengambilan kalori hanya sekitar 800 hingga 1,000 sehari, jauh lebih rendah daripada keperluan normal seorang wanita aktif.
“Dari luar nampak sihat, rajin bersenam, tidak ada sebarang keluhan. Tapi hasil pemeriksaan mendedahkan sesuatu yang membimbangkan – HbA1c pesakit mencecah 6.1 (pradiabetes) dan glukosa puasa 111 mg/dL,” katanya.
Beliau menjelaskan, masalah utama yang sering tidak difahami wanita ialah kehilangan jisim otot akibat diet keterlaluan.
“Ramai ingat makin kurus makin sihat, padahal otot adalah gudang utama untuk menyimpan gula dalam darah.
"Bila otot menyusut, gula darah tidak ada tempat untuk diserap, akhirnya terkumpul dalam saluran darah. Inilah yang jadi faktor risiko diabetes,” jelasnya.
Lebih membimbangkan, katanya, wanita yang sudah pun kehilangan banyak otot pada usia muda akan berdepan risiko kesihatan yang lebih serius ketika mencecah menopaus.
Antara risiko yang menanti ialah metabolisme badan semakin merosot, tulang menjadi rapuh akibat osteoporosis dan keadaan itu boleh menyebabkan seseorang mudah patah tulang walaupun hanya kerana jatuh ringan.
“Usia belum 30 tahun, tapi sudah pradiabetes. Bayangkan apa akan jadi bila menopaus nanti? Risiko penyakit makin banyak, hidup boleh menderita,” ujarnya lagi.
Jangan kejar kurus semata-mata
Dr. Camoya menasihatkan wanita supaya lebih berhati-hati dalam memilih pola pemakanan, selain menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengetahui status metabolisme tubuh masing-masing.
“Kesihatan bukan hanya tentang nampak kurus atau awet muda. Yang lebih penting adalah mempunyai tubuh kuat, metabolisme terkawal, tulang sihat, dan kualiti hidup yang baik bila sudah tua,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram