
LAZIMNYA, nasi yang tidak habis sering dijadikan nasi goreng sebagai menu baharu.
Namun, seorang wanita, Fathia Rahim berkongsi idea menarik untuk mengelakkan pembaziran dengan menukar nasi lebihan kepada menu bubur ayam yang mudah, tapi mengenyangkan.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Fathia berkata, menu bubur ayam ini sering dimasaknya kerana dianggap sangat sesuai untuk dinikmati anak-anak.
BACA LAGI: Kahwin bukan sekadar tinggal serumah, ini beberapa amalan sebelum tidur yang ramai pasangan abaikan
“Kalau nasi tak habis, selain buat nasi goreng, saya suka masak bubur,” katanya.
Dalam rakaman video yang dikongsikan, Fathia menunjukkan langkah demi langkah cara menyediakan bubur ayam menggunakan bahan asas yang mudah didapati di dapur.
Berikut resipi penuh yang dikongsikan:
1. Masukkan air ke dalam periuk bersama nasi yang tidak habis. Biarkan mendidih sehingga teksturnya mula pecah menjadi bubur.
2. Potong halia, bawang putih (4 ulas) dan bawang merah (2 biji). Kemudian kisar atau tumbuk halus bahan tersebut.
3. Tumis bahan yang telah dikisar sehingga naik bau harum. Masukkan serbuk kunyit sedikit untuk menaikkan aroma.
4. Masukkan bahan tumis ke dalam periuk bubur tadi.
5. Masukkan isi ayam yang telah dipotong kecil.
6. Perasakan dengan garam, serbuk lada secukupnya. Tambahkan sos ikan atau kiub pati ayam jika mahu rasa lebih kuat.
7. Biarkan mendidih sehingga ayam masak sepenuhnya dan bubur menjadi pekat berkrim.
8. Taburkan daun sup ketika menghidang untuk aroma segar.
9. Hidangkan bersama telur masin rebus sebagai pelengkap menu.
Resipi ringkas ini bukan sahaja menjimatkan, malah sesuai dimakan seisi keluarga.
Lebih menarik, penyediaannya tidak memerlukan masa lama, sekali gus menjadi pilihan ibu-ibu yang mahukan menu cepat, sekali gus mengenyangkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram