
CINTA bukan sekadar manis di bibir, tetapi juga tentang bagaimana dua hati memilih cara terbaik untuk disatukan.
Dalam masyarakat kini, isu kos perkahwinan sering menjadi topik hangat apabila ada yang sanggup berhutang demi majlis gilang-gemilang, tidak kurang juga yang memilih kesederhanaan demi masa depan bersama.
Di laman Threads, baru-baru ini seorang wanita, Sarah Yussof mencetuskan perbincangan hangat apabila mengajukan soalan mengenai tanggapan lelaki bujang sekiranya seorang wanita hanya meminta RM5,000 untuk bernikah.
Katanya, kos tersebut merangkumi mas kahwin dalam bentuk jongkong emas dan sebentuk cincin, tanpa majlis kenduri besar, sebaliknya hanya makan bersama keluarga terdekat disertakan pelamin yang dihasilkan secara bajet.
Persoalan itu mengundang pelbagai pandangan yang berbeza dengan ada individu yang menganggap ia langkah bijak demi masa depan tetapi ada juga yang khuatir ia membuatkan si lelaki mengambil kesempatan.
Perkahwinan adalah satu tuntutan agama dalam Islam. — Gambar Hiasan
Seorang pengguna, Teribogad menganggap ia satu idea yang baik, tetapi menasihatkan agar pasangan turut menyediakan persiapan hidup selepas kahwin.
“Kalau boleh tambah sedikit permintaan. Minta sediakan rumah sewa dan kelengkapan asas. Sebab yang paling penting adalah kehidupan selepas bernikah,” katanya.
Seorang lelaki, Lanun Sham pula berkongsi pengalaman indahnya berumah tangga dengan kos yang sangat sederhana.
“Saya dulu nikah dengan isteri hanya mas kahwin RM22.50 dan hantaran RM888. Kenduri belanja RM2,500 buat di rumah sahaja. Semua buat sendiri, dari pelamin sampai kad jemputan.
"Alhamdulillah kami bahagia. Saya syukur dapat isteri yang memahami,” katanya.
Bagi warga maya, Adrian, pendekatan seperti ini adalah sesuatu yang patut diraikan kerana ia mengurangkan beban pasangan.
“Inilah yang sebenarnya perlu. Perkahwinan tak sepatutnya jadi beban hutang. Apa yang wajib dalam akad nikah hanyalah lima rukun iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, saksi dan akad.
"Mahar memang wajib, tapi tak perlu melampau. Kalau pasangan saya minta macam ni, Insya-ALLAH saya terus kahwin dia,” katanya.
Namun, di sebalik niat murni untuk memudahkan, ada juga kisah pahit yang dikongsi.
Seorang wanita, Cikil meluahkan pengalamannya apabila pernah mendahulukan wang sendiri untuk majlis kahwin.
“Aku dulu sanggup dahulukan duit sendiri. Dia cuma keluar duit untuk cincin, hantaran RM5,000 tu pun aku pinjamkan dulu dengan kira sebagai hutang.
"Tetapi mak mertua boleh pula gelakkan sebab anak-anak perempuan lain dapat lebih,” katanya mengimbas kembali detik perkahwinan.
Apa yang lebih menyakitkan, Cikil berkata, pengorbanan itu akhirnya dibalas dengan kecurangan.
“Aku tak kisah pada mula sebab niat nak mudahkan. Tapi bila kantoi dia curang sampai ke katil, aku rasa luluh. Sebelum cerai, aku tuntut balik semua hutang dan alhamdulillah dapat.
"Sekarang ALLAH ganti dengan pasangan baru yang betul-betul provider. Aku tak minta pun, tapi dia beri ribuan setiap bulan. Mungkin sebab dia tahu aku dah banyak struggle,” ujarnya.
Warga maya lain, Flowerboxmalaysia pula memberi peringatan bahawa sikap terlalu memudahkan kadang-kadang membuatkan suami mengambil kesempatan.
“Pengalaman saya, bila semua mudah, dia terus terbawa-bawa sampai ke anak. Semua saya kena fikir sendiri, sampai mati berdikari,” jelasnya.
Manakala Nurul Syafiqah menasihatkan agar wanita tetap berhati-hati walaupun niat ingin memudahkan pasangan.
“Nak buat baik berpada. Pastikan lelaki dan keluarganya betul-betul menghargai. Kalau tidak, semua urusan bermula dari rumah, perabot, borang nikah nanti awak yang kena tanggung dan ingatkan berkali-kali,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram