Nak tahu si dia benar-benar sekufu atau tidak? Ini panduan penting elak rumah tangga gagal di tengah jalan


  • Cinta
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Perkahwinan adalah tentang kesanggupan untuk berjalan seiring walaupun langkah tidak selalu sama. — Gambar Hiasan

RAMAI yang menganggap cinta sahaja sudah cukup untuk mengikat dua hati.

Namun, realitinya, banyak rumah tangga yang musnah bukan kerana kurang kasih sayang, sebaliknya kerana pasangan tidak sekufu iaitu tidak sepadan dari segi cara berfikir, prinsip hidup dan hala tuju masa depan.

Dalam satu hantaran di laman Threads, perunding perkahwinan, Maulana Umar berkata, perkahwinan bukan sekadar tentang bersama, tetapi tentang kesanggupan untuk berjalan seiring walaupun langkah tidak selalu sama.

“Berkahwin bukan hanya soal cinta, tetapi juga kesanggupan untuk berkompromi, menahan ego dan memberi ruang untuk memaafkan.

"Dalamnya ada proses panjang iaitu penyesuaian dengan sikap, kebiasaan, bahkan budaya keluarga pasangan.

“Kalau dari awal sudah terlalu jauh perbezaannya, jalan menuju kompromi boleh menjadi terlalu melelahkan,” katanya.

BACA LAGI: Ketahui jenis vitamin mampu lewatkan proses penuaan hingga 4 tahun, kajian Harvard bongkar rahsia awet muda

BACA LAGI: 'Baru 26 tahun, dah kena dialisis', akibat pengambilan gel detox selama berbulan-bulan, wanita kini hidap penyakit buah pinggang kronik

Memilih pasangan yang sekufu penting untuk menjamin kebahagiaan rumah tangga. — Gambar Hiasan

Menurut beliau, Islam memperkenalkan konsep sekufu iaitu pasangan yang sepadan. 

Bukan bermaksud perlu sama dalam semua perkara, tetapi cukup memiliki keserasian dalam cara berfikir, keutamaan hidup dan nilai yang dipegang.

“Tujuannya jelas, apabila berlaku perbezaan, jurangnya masih boleh didekatkan,” katanya lagi.

Tiga ukuran sekufu

1. Visi dan misi seimbang dunia serta akhirat

Maulana Umar menjelaskan, perkahwinan bukan sekadar tentang masa sekarang, tetapi tentang membina masa depan bersama.

“Kalau mahu keluarga yang kuat, suami isteri mesti ada hala tuju yang sama. Cara mungkin berbeza, tetapi matlamat tetap perlu seiring,” katanya.

Beliau memberi contoh, ada pasangan yang berhasrat membina keluarga sederhana berlandaskan nilai agama dan mendidik anak dekat dengan al-Quran, namun pasangannya pula lebih cenderung kepada kehidupan mewah serta mengejar glamor di media sosial.

Katanya, perbezaan sebegini akhirnya akan menarik rumah tangga ke arah bertentangan.

2. Prinsip dan standard nilai hidup

Setiap individu ada pendirian, tetapi dalam rumah tangga, prinsip yang terlalu berbeza boleh mencetuskan pertengkaran berulang kali.

“Kalau seorang yakin rezeki halal walaupun sedikit lebih berkat, tetapi pasangannya sanggup ambil jalan pintas asalkan nampak kaya, itu sudah jelas bercanggah.

“Begitu juga dalam menyelesaikan konflik iaitu ada yang memilih berbincang, ada yang memilih marah atau mendiamkan diri berhari-hari. Lama-kelamaan, rumah tangga hilang ketenangan,” katanya.

Berbeza cara mengurus wang boleh mencetuskan perbalahan terutama dalam rumah tangga. — Gambar Hiasan

3. Corak hidup dan cara urus kewangan

Menurutnya lagi, soal kewangan sering menjadi punca utama perselisihan dalam rumah tangga.

“Kalau seorang berdisiplin, suka menabung, tetapi pasangannya boros dan berbelanja ikut suka hati, akhirnya seorang jadi penat menanggung kerana seorang lagi suka lepas tangan.

“Sekufu bukan bermaksud pendapatan mesti sama, tetapi sama-sama faham nilai wang, tahu keutamaan dan saling menguatkan untuk hidup sederhana dan bukan hidup bermewah-mewahan,” jelasnya.

Bukan mesti sama, tetapi mesti seiring

Maulana Umar menegaskan, sekufu bukan diukur pada latar belakang, suku, pendidikan atau harta, sebaliknya pada visi hidup, prinsip dan corak hidup yang mampu diterima bersama.

“Watak boleh berbeza, pekerjaan boleh berlainan, minat boleh tak sama. Tetapi kalau nilai hidup bercanggah, perkahwinan akan jadi rapuh.

"Sebab perkahwinan bukan sekadar tentang cinta, tetapi perjuangan dua insan yang berkongsi nilai yang sama,” katanya.

Sebelum membuat keputusan untuk berkahwin, beliau berpesan agar setiap orang bertanya pada diri:

Adakah pasangan ini menolongku menuju syurga atau sebaliknya?

Adakah dia mampu bersama dalam susah atau hanya hadir ketika senang?

Adakah dia menghormati nilai hidupku atau memperlekehkannya?

“Akhirnya, jodoh adalah cerminan diri. Pilihan hari ini akan menentukan perjalanan hidup selamanya,” kata Maulana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram