
SELEPAS pelakon terkenal Hollywood, Bruce Willis didiagnosis dengan frontotemporal dementia (FTD), kehidupan keluarganya berubah secara drastik.
Isterinya, Emma Heming Willis berkongsi pengalaman mereka sejak Bruce dipindahkan ke rumah sendiri.
Dalam temubual baru-baru ini dengan agensi, Emma menjelaskan bahawa keputusan mencari rumah sendiri untuk Bruce adalah antara keputusan paling sukar, tetapi perlu dibuat kerana FTD yang dihidapi Bruce memerlukan suasana tenang.
BACA LAGI: Tenang hadapi ragam emosi remaja, panduan ibu bapa kawal pergolakan tanpa konflik
"Kami mempunyai dua anak kecil, jadi penting bagi mereka ada rumah yang menyokong keperluan mereka, manakala Bruce pula perlu mempunyai tempat yang sesuai untuk dirinya," kata Emma.
Beliau menambah, anak-anak mereka kini boleh bermain dengan rakan dan mengadakan aktiviti tidur bersama (sleepover) tanpa perlu sentiasa berhati-hati.
Emma mula berkongsi keputusan memindahkan Bruce ke rumah sendiri pada Ogos lalu menerusi rancangan khas ABC, Emma & Bruce Willis: The Unexpected Journey.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai salah satu keputusan paling sukar sejak Bruce didiagnosis pada Februari 2023.
Selepas temubual itu disiarkan, Emma menerima kritikan di media sosial.
Beliau kemudiannya menjawab melalui Instagram, menekankan bahawa walaupun seseorang biasa dengan dementia, mereka tidak memahami situasi sebenar keluarga atau tingkah laku individu.
Penulis berusia 47 tahun itu turut menegaskan bahawa dementia berlaku berbeza dalam setiap rumah dan penting untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan keluarga sendiri.
"Ini memang menyedihkan bagi saya, tetapi inilah cara kami dapat menyokong seluruh keluarga dan ia juga membuka peluang baru untuk Bruce," katanya.
Bruce bersama Emma (kiri) dan Demi (dua dari kiri) serta lima anaknya. — Instagram/@demimoore
Walaupun Bruce kini tinggal di rumah berasingan, hubungan beliau dengan dua anak perempuan mereka tetap kukuh.
Rumah baharu Bruce yang menerima penjagaan profesional 24 jam terletak tidak jauh dari rumah keluarga dan mereka sering mengunjunginya.
Sebelum ini, Emma pernah berkongsi kepada personaliti televisyen, Diane Sawyer bahawa beliau melawat Bruce setiap pagi dan malam serta menyifatkan rumah itu sebagai 'rumah kedua' mereka.
"Saya dapat kembali menjadi isteri Bruce, manakala anak-anak boleh menjadi diri mereka sendiri. Saya sangat bersyukur kerana dapat bersamanya dalam saat-saat itu, semuanya kerana susunan yang kami buat. Ia banyak membantu kami," ujarnya kepada agensi.
Dalam temubual bersama Sawyer, Emma berkata beliau tahu ini adalah apa yang Bruce mahukan untuk anak-anak mereka.
Bruce mahu mereka tinggal di rumah yang sesuai dengan keperluan mereka.
Untuk info, Bruce berkahwin dengan Emma pada Mac 2009 dan mereka mempunyai dua anak perempuan, iaitu Mabel, 13, dan Evelyn, 11.
Isteri terdahulu Bruce yang juga pelakon, Demi Moore baru-baru ini memuji Emma atas kecekalannya menjaga Bruce semasa penampilannya di The Oprah Podcast.
"Tiada panduan khusus tentang cara menghadapi situasi ini. Segala tanggungjawab banyak terletak pada Emma untuk menyelesaikannya. Yang paling penting, seperti yang ditulis dalam bukunya, adalah kesedaran bahawa penjaga perlu menjaga diri sendiri terlebih dahulu. Jika tidak, mereka tidak dapat membantu orang lain," kata Demi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram