
SEMAKIN ramai pasangan kini memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan tanpa kanak-kanak atau child-free wedding.
Konsep itu merujuk kepada majlis yang hanya menjemput tetamu dewasa dengan tujuan mewujudkan suasana lebih tenang, formal dan teratur tanpa gangguan tangisan atau bunyi bising.
Antara kelebihannya ialah majlis dapat berlangsung dengan lebih lancar, tumpuan diberikan sepenuhnya kepada pasangan pengantin, suasana lebih terkawal serta tetamu dewasa berasa lebih selesa.
Namun, terdapat juga kelemahannya yang mana ia boleh menyukarkan tetamu yang mempunyai anak kecil, sekali gus berisiko menyebabkan sebahagian jemputan terpaksa menolak untuk hadir.
Di platform Threads, sebahagian besar warga maya dilihat menyokong konsep tersebut dan berpendapat pasangan pengantin berhak sepenuhnya menentukan suasana pada hari bahagia mereka.
Menerusi hantaran di platform Threads, @shf._.bara berkata, konsep jemputan kahwin tanpa anak tidak sepatutnya menimbulkan kemarahan kerana ia sekadar pilihan peribadi pasangan pengantin.
"Majlis tanpa kanak-kanak bermaksud tiada tangisan ketika akad, tiada makanan bersepah di lantai dan tiada gangguan yang tidak diingini. Itu majlis mereka, duit mereka, peraturan mereka. Kalau tidak suka, jangan datang," tulisnya.
Pandangan itu turut disokong oleh pengguna @diana.ishak yang menegaskan bahawa majlis perkahwinan adalah detik sekali seumur hidup dan bukan pusat jagaan kanak-kanak.
"Kalau pasangan mahu majlis tanpa kanak-kanak, hormati keputusan itu. Hari mereka, duit mereka, pilihan mereka," katanya.
Ada juga pengguna yang berkongsi pengalaman bagaimana menyesuaikan diri dengan jemputan tanpa kanak-kanak tanpa menjadikannya isu besar.
"Setiap kali menerima jemputan, perkara pertama yang saya tanya ialah boleh bawa anak atau tidak. Jika tidak, saya akan mencari pengasuh atau meminta bekas pasangan menjaga anak.
"Jika tiada pilihan, saya lebih rela tidak hadir. Majlis orang, kita hanya tetamu. Jangan berlagak seperti kita ada hak," tulis @rejaiearbee.
Sementara itu, @yesqis mengingatkan tetamu supaya menghormati peraturan pengantin.
"Kadang-kadang orang lupa setiap pasangan ada hak untuk membuat peraturan pada hari penting mereka. Selagi tidak menyakiti sesiapa secara fizikal, keputusan pengantin patut dihormati. Ada tetamu pula berlagak seolah-olah mereka watak utama," tulisnya.
Namun, ada juga yang mengambil pendekatan berbeza. Seorang bapa berkata, beliau menghormati konsep itu tetapi tetap memilih untuk menolak jemputan jika anaknya tidak dibenarkan hadir.
"Anak saya tidak pernah mengganggu majlis, tapi kalau dapat jemputan begini, saya akan tolak dengan baik. Anak tetap keutamaan," kata @mfammuha. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram