Sudah labur RM50,000, majlis perkahwinan batal saat akhir, bagaimana cara tuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah?


  • Cinta
  • Khamis, 04 Sep 2025

Pihak yang terkilan akibat majlis perkahwinan yang terbatal saat akhir boleh menuntut semula ganti rugi. — Gambar Hiasan

MAJLIS perkahwinan yang sepatutnya menjadi detik paling indah dalam hidup boleh bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dibatalkan pada saat akhir.

Lebih memilukan apabila ribuan ringgit sudah pun dilaburkan sebagai persediaan untuk penempahan dewan, katering, pelamin dan lain-lain.

Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada pihak yang menanggung kerugian berhak menuntut kembali kos yang telah dibelanjakan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas suami meninggal dunia dalam tempoh iddah, bekas isteri layak terima harta pusaka? Ini penjelasan peguam syarie

BACA LAGI: Suami enggan lepas walau sudah lafaz taklik, peguam syarie jelas prosedur perlu isteri lakukan

Undang-undang benarkan tuntutan ganti rugi pertunangan

Menurut peguam syarie, Nur Ramizah Kasbi, isu ini merujuk di Bawah kategori ganti rugi pertunangan, yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15, Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia.

“Seksyen ini jelas menyatakan bahawa pihak yang mungkir janji tanpa sebab munasabah bertanggungjawab memulangkan semua pemberian pertunangan atau nilainya, serta membayar kembali kos persiapan perkahwinan yang telah dibelanjakan dengan ikhlas oleh pihak satu lagi,” katanya kepada Majoriti.

Nur Ramizah merupakan peguam syarie yang berkhidmat bagi kes di Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.

Sebagai contoh, Nur Ramizah berkata, sekiranya majlis perkahwinan bernilai RM50,000 terpaksa dibatalkan kerana pengantin lelaki berlaku curang, pihak perempuan berhak menuntut semula kos persiapan mengikut undang-undang Syariah.

“Dalam kes begini, tuntutan boleh difailkan di Mahkamah Rendah Syariah kerana jumlahnya di bawah RM300,000. Jika tuntutan melebihi jumlah itu, ia perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah,” jelasnya.

Dokumen bukti amat penting

Nur Ramizah menekankan bahawa bukti sokongan adalah faktor utama untuk memastikan tuntutan berjaya.

“Resit katering, kontrak tempahan dewan, pelamin, jurufoto, jurusolek... semuanya perlu dilampirkan dalam dokumen tuntutan di mahkamah. Hakim akan melihat sejauh mana kerugian sebenar yang ditanggung sebelum membuat keputusan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, bukti sokongan ini mesti dikemukakan dalam dokumen tuntutan (pleading) agar hakim jelas dengan jumlah kerugian yang ditanggung.

Perlu peguam atau tidak?

Mengenai proses, Nur Ramizah menjelaskan bahawa individu boleh terus membuat tuntutan di mahkamah tanpa melantik peguam syarie, namun jika ada peguam, proses akan lebih teratur.

“Kalau bawah RM300,000, bidang kuasanya di Mahkamah Rendah Syariah. Atas RM300,000 barulah ke Mahkamah Tinggi Syariah.

"Sama ada nak lantik peguam atau tidak, itu bergantung kepada individu,” katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram