Lelaki Malaysia kongsi 4 perkara penting bila kahwin dengan keluarga Jerman-Rusia


  • Cinta
  • Khamis, 04 Sep 2025

Pengalaman Riza berkahwin dengan wanita dari Jerman-Rusia membuka mata tentang budaya, tradisi dan nilai kekeluargaan.

CINTA tidak mengenal sempadan dan begitu juga perkahwinan.

Ramai orang beranggapan kahwin campur sekadar soal budaya dan bahasa, tetapi realitinya jauh lebih dalam.

Pempengaruh, Riza Amir, berkongsi di Threads mengenai pengalamannya berkahwin dengan wanita Jerman yang berasal daripada keluarga campuran Jerman-Rusia.

BACA LAGI: Didik anak dengan nilai empati, hentikan buli dari rumah

BACA LAGI: Cintakan sejarah tiup semangat usahawan buka kedai antik, gramofon 1920-an antara khazanah berharga

Katanya, sepanjang perjalanan membina keluarga, ada banyak perkara baharu yang dipelajari.

Daripada cara mereka berinteraksi, menghargai makanan, menjaga tradisi hingga ke sifat berdikari, semuanya membuka mata tentang betapa berbezanya budaya, namun tetap mampu membina keharmonian.

Ini adalah empat perkara yang Riza kongsikan hasil pengalaman perkahwinannya bersama wanita Jerman-Rusia.

1. Berani berbeza pendapat dengan penuh emosi

Dalam keluarganya sendiri, mungkin ada hal yang disimpan di dalam hati.

Tetapi dalam keluarga Jerman-Rusia, budaya mereka berbeza apabila emosi dan pandangan mesti diluahkan dengan terbuka.

Mereka percaya bahawa tidak bersetuju tidak sama dengan tidak menghormati.

Malah, semakin berani bersuara, semakin rapat hubungan kekeluargaan itu.

Contohnya, ketika berbincang tentang isu rumah tangga atau pandangan politik, setiap orang bebas bercakap walaupun pendapatnya bercanggah.

Menariknya, selepas perbincangan selesai, suasana kembali normal penuh kasih sayang, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Budaya itu menunjukkan perbezaan pandangan bukan penghalang hubungan, malah boleh mengeratkan ikatan jika dibina atas dasar saling menghormati.

2. Makan bersama adalah masa keluarga

Dalam keluarga Jerman-Rusia, makan bukan sekadar mengisi perut.

Ia dianggap masa paling penting untuk membina hubungan.

Makanan mesti dimasak sendiri oleh ahli keluarga, bukan dibeli dari luar.

Bila makan, semua ahli keluarga mesti hadir sama-sama. Kalau ada 20 orang pun, mereka akan pastikan duduk semeja supaya tiada siapa terpinggir.

Ketika makan, semua orang diajar untuk menghargai tukang masak. Kalau rasa tak sedap, lebih baik diam. Kalau sedap, berikan pujian.

3. Tradisi, adat dan ilmu diturunkan bersama

Salah satu pengalaman menarik Riza ialah menyertai tradisi keluarga memetik cendawan liar di hutan setiap musim luruh.

Ia bukan sekadar aktiviti suka-suka, tetapi proses mempelajari ilmu turun-temurun dengan mengenal pasti cendawan boleh dimakan, beracun dan cara memilih yang terbaik.

Tradisi seperti itu menjadikan setiap generasi lebih dekat dengan alam, lebih menghargai warisan keluarga dan lebih rapat antara satu sama lain.

4. Segalanya dibuat sendiri dari awal hingga akhir

Budaya Jerman-Rusia amat menekankan sifat berdikari.

Prinsip mereka mudah, 'jika mahu sesuatu yang sempurna, buatlah sendiri.'

Daripada membakar kek, menjahit pakaian, membaiki rumah hinggalah ke kerja-kerja pengubahsuaian, mereka lebih suka melakukannya dengan tangan sendiri berbanding mengupah orang.

Sejarah keluarga yang pernah melalui zaman sukar menjadikan mereka bangsa yang tahan lasak.

Maka, setiap cabaran dianggap peluang untuk belajar kemahiran baharu.

Pengalaman Riza bersama keluarga Jerman-Rusia membuktikan bahawa kahwin campur bukan sekadar soal cinta dua insan, tetapi juga soal memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya baharu.

Daripada belajar berterus-terang tentang emosi, menghargai makanan sebagai simbol kasih sayang, menjaga tradisi keluarga hingga ke sifat berdikari dalam setiap aspek kehidupan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram