
RAMAI lelaki bercita-cita mahu kahwin dengan wanita cantik.
Ada juga yang memasang niat mahu kahwin dengan wanita baik hati, tetapi ada segelintir senyap-senyap mengimpikan pasangan kaya raya.
Tapi macam mana nak sampai ke tahap itu? Adakah cukup dengan wajah kacak, tubuh sasa atau kereta mewah?
BACA LAGI: Didik anak dengan nilai empati, hentikan buli dari rumah
BACA LAGI: Cintakan sejarah tiup semangat usahawan buka kedai antik, gramofon 1920-an antara khazanah berharga
Seorang lelaki bernama Timothy Tiah di Threads tampil dengan jawapan yang mencuit hati.
Baginya, rahsia kahwin dengan wanita kaya bukanlah rupa paras, tetapi strategi hidup.
Dengan penuh gaya satira, Timothy menyusun 'manual survival' yang membuka mata tentang dunia golongan berada di Malaysia.
Lokasi eksklusif jadi tumpuan wanita kaya di Malaysia.
1. Cari lokasi yang tepat
Kalau anda betul-betul mahu bertemu wanita kaya, jangan bazirkan masa di tempat yang salah.
Pasar malam, kedai bundle atau medan selera bukanlah lokasi mereka.
Menurut Timothy, lokasi panas untuk berkenalan termasuk:
- Kafe hipster di Publika – tempat minum kopi RM20 secawan sambil bekerja di laptop.
- Taman tasik di Desa Park – kawasan istirehat eksklusif yang dibuka untuk membawa haiwan peliharaan.
- Kelas kayuhan di Bangsar – tempat mereka bersenam dengan kasut sukan harga ribuan ringgit.
Ini kerana wanita berada selalunya bergerak dalam persekitaran tertentu seperti lokasi bergaya, penuh status sosial dan eksklusif.
Jika mahu masuk ke dunia mereka, langkah pertama ialah memilih tempat yang betul.
2. Belajar bahasa mereka
Bahasa percakapan wanita kaya berbeza daripada orang kebanyakan kerana ia penuh istilah asing yang mungkin kedengaran pelik kepada telinga biasa.
Contoh dialog:
Anda: "Wah, pinjaman kereta naik."
Dia: "Gaji pemandu naik lagi."
Frasa asas wajib tahu kerana jika salah faham dalam perbualan boleh buat anda kelihatan ketinggalan ataupun janggal.
- 'Rumah hujung minggu' (bukan kampung)
- 'Percutian ski' (bukan Cameron Highlands)
Jika anda keliru antara 'rumah kampung' dengan 'rumah hujung minggu', kemungkinan besar anda tidak akan dipanggil untuk janji temu kedua.
3. Lulus ujian rakan-rakan
Hakikat sebenarnya anda bukan hanya bercinta dengan seorang wanita, tetapi dengan seluruh kumpulan WhatsApp dia.
Peraturannya ketat, jika seorang rakan tak suka anda, habis cerita.
Untuk tambah mata 'gentleman', sekali-sekala belanja kopi untuk semua.
Harganya mungkin RM200, tetapi nilai mata itu boleh bertahan enam bulan.
Bayangkan anda duduk di meja kafe bersama lima orang rakan wanita itu.
Semua mata menilai cara anda bercakap, ketawa, malah bagaimana anda memanggil pelayan.
Silap langkah, nama anda akan segera masuk dalam 'not recommended list'.
Restu rakan-rakan adalah kunci kerana mereka adalah benteng pertama sebelum anda sampai ke tahap keluarga.
Temuduga ibu bapa penentu sama ada anda layak atau tidak.
4. Hadapi temuduga ibu bapa
Selepas lulus kumpulan rakan, tibalah masa bertemu keluarga.
Ayahnya mungkin akan bertanya pekerjaan anda, namun jangan sesekali menjawab mata wang kripto.
Sebut sahaja kewangan, kedengaran lebih kukuh dan stabil.
Manakala, ibu pula lebih kritikal kerana dia tidak mungkin bertanya banyak, tetapi matanya menilai kasut anda.
Kenapa perkara ini penting? Dalam keluarga kaya, reputasi amat dijaga.
Kasut, jam tangan, malah cara duduk anda boleh jadi bahan penilaian.
Satu kesilapan kecil boleh menutup pintu peluang besar.
5. Fahami ekonomi temujanji
Perbezaan gaya hidup akan mula terasa ketika keluar temujanji.
Anda: bajet RM80 cukup untuk mamak dengan wayang.
Dia: bajet RM800 hanya untuk omakase serta parkir valet.
Dunia wanita kaya bergerak dalam angka yang berbeza, malah "belah dua bil" tidak wujud dalam kamus mereka.
6. Kenali tanda-tanda dia kaya
Timothy menyenaraikan beberapa isyarat jelas:
- "Ada kod promo?" Mungkin soalan pelik bagi mereka.
- "Kita tak pergi Langkawi… Lisbon lebih dekat."
- "Portfolio saya jatuh bulan ini." Bukannya akaun simpanan merosot.
- "Sayang, hantar ukuran badan saya terus pada tukang jahit."
Bukan semua wanita kaya menunjuk dengan kereta mewah atau beg tangan mahal.
Kadang-kadang, kekayaan sebenar hanya terserlah melalui gaya percakapan dan cara membuat pilihan.
Tanda-tanda kekayaan terserlah melalui gaya hidup dan percakapan.
Akhirnya, Timothy menekankan bahawa kahwin dengan wanita kaya bukan soal duit, tetapi tentang stamina.
- Stamina untuk tersenyum walaupun RM60 hanya untuk telur.
- Stamina untuk bertahan dengan kerenah rakan-rakan dalam kumpulan WhatsApp.
- Stamina untuk ulang sebut “ya aunty” sebanyak 47 kali setiap kali musim perayaan.
Kesimpulannya, kalau stamina tak cukup, jangan cuba-cuba masuk gelanggang ini.
Keseluruhannya, perkongsian itu walaupun bersifat berjenaka, ia tetap berjaya menyingkap realiti sosial.
Ia merupakan jurang gaya hidup antara orang biasa dan golongan berada di Malaysia.
Lebih daripada sekadar jenaka, ia mengingatkan kita bahawa cinta kadangkala datang dengan kos tersembunyi yang memerlukan bukan sahaja wang tetapi juga stamina mental dan fizikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram