'Baru 26 tahun, dah kena dialisis', akibat pengambilan gel detox selama berbulan-bulan, wanita kini hidap penyakit buah pinggang kronik


  • Sihat
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Pesakit tersebut perlu menjalani dialisis ekoran masalah buah pinggang kronik (CKD) tahap akhir. — Gambar Hiasan

HIDUP seorang wanita berubah dalam sekelip mata apabila disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap akhir dan perlu menjalani rawatan dialisis segera, selepas berbulan-bulan mengamalkan produk gel detox.

Kisah itu tular selepas dikongsi oleh pengguna Threads, Seyra Loniera yang mendedahkan pesakit berkenaan sebelum ini sama sekali tidak pernah dimasukkan ke hospital dan tidak mempunyai sejarah penyakit serius. 

Namun, ketika datang ke unit kecemasan hospital baru-baru ini, pemeriksaan mendapati bacaan creatinine pesakit mencecah ribuan, paras urea berada pada tahap 48, paru-paru berair manakala fungsi jantung hanya tinggal 40 peratus.

"Bila disemak sejarah perubatan, tiada penyakit kronik kecuali pengambilan gel detox untuk tempoh beberapa bulan,” katanya.

BACA LAGI: Wanita sedih suami minta 'rehome' si bulus, mentua kurang selesa apabila berkunjung ke rumah

BACA LAGI: [VIDEO] Siti Nurhaliza dedah 'rahsia' tidak muncul di KLFW, bukan tak hargai pereka tapi...

Menurutnya, pesakit tersebut menangis ketika dimaklumkan perlu menjalani dialisis buat pertama kali.

“Tolong jaga kesihatan. Jangan percaya produk detox atau suplemen yang meragukan.

"Jika mahu detox, lebih baik buat sendiri. Bila sudah sakit, tiada siapa yang akan datang membantu,” katanya lagi.

Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai termasuk golongan profesional kesihatan. 

Pegawai farmasi berpengalaman, Amin Azman mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan produk kesihatan yang tidak disahkan keselamatannya.

“Saya pernah bertugas di hospital dan berdepan banyak kes sebegini. Pencegahan lebih baik daripada rawatan. Jangan mudah terpedaya dengan janji manis produk yang menjanjikan pulangan berlebihan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Malar Santhi Santherasegapan menegaskan produk seperti itu wajar dilaporkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Tolong laporkan produk ini kepada pihak berkuasa,” katanya.

Perbincangan turut dibanjiri pengalaman pengguna media sosial yang pernah berdepan kesan buruk akibat pengambilan suplemen.

Ainnadiya Jamaluddin berkongsi kisah dimasukkan ke hospital selepas bacaan kreatinin mencecah 14,000 akibat pengambilan protein untuk senaman gim.

“Baru dua tiga kali blend protein dengan pisang dan peanut butter, terus demam. Bila check darah, CK tinggi gila.

"Kalau tak rawat, memang buah pinggang rosak,” katanya.

Aini Mayrissa pula mendedahkan isu yang terjadi kepada kawannya akibat daripada mengambil suplemen pemutih.

"Saya ada kawan ambil supplemen putih dan sekarang dia sudah kena dialisis umur baru 31. Tolong hati-hati sangat bahaya," katanya. 

Pengguna lain, Catheeja mengingatkan kesan pengambilan produk berbahaya tidak berlaku serta-merta, sebaliknya muncul selepas berbulan-bulan atau bertahun-tahun apabila organ dalaman sudah rosak.

“Sebab itulah saya takut nak ambil suplemen yang bukan-bukan, yang overclaim. Sebab kita taktau apa kesan jangka panjangnya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram