Ketahui jenis vitamin mampu lewatkan proses penuaan hingga 4 tahun, kajian Harvard bongkar rahsia awet muda


  • Sihat
  • Isnin, 01 Sep 2025

Vitamin D didapati mampu melambatkan proses penuaan sehingga empat tahun. — Gambar Hiasan

VITAMIN D didapati mampu melambatkan proses penuaan sehingga empat tahun, menurut kajian terbaru Universiti Harvard.

Kajian yang diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition itu mendedahkan pengambilan vitamin D secara harian dapat melindungi telomere iaitu bahagian penting pada hujung kromosom yang akan semakin pendek apabila usia meningkat.

Dalam ujian ke atas 1,000 peserta berusia 50 tahun ke atas, kumpulan yang mengambil 2,000 unit vitamin D setiap hari selama empat tahun menunjukkan kurang separuh pemendekan telomere berbanding kumpulan plasebo.

BACA LAGI: [VIDEO] Bina rumah Orang Asli di Perak dalam masa 3 hari, Ninie, 30 sukarelawan sempurna misi bulan kebangsaan

BACA LAGI: Ambil iktibar kisah benar filem Norma: Antara Mertua dan Menantu, rumah tangga hancur dikhianati perselingkuhan sesama keluarga

Siapa perlu lebih perhatian?

Pakar Harvard, Prof. JoAnn Manson berkata, vitamin D penting terutamanya untuk warga emas yang tinggal di rumah jagaan, individu yang mengalami masalah penyerapan nutrien, pesakit osteoporosis, serta mereka yang mempunyai sekatan diet ketat.

“Pengambilan 1,000 hingga 2,000 IU sehari adalah munasabah. Tetapi dos berlebihan melebihi 10,000 IU boleh membahayakan,” katanya.

Sumber vitamin D

Selain suplemen, vitamin D boleh diperoleh daripada makanan seperti ikan berlemak (salmon, sardin, tuna), cendawan liar, serta produk tenusu, bijirin dan jus oren yang diperkaya.

Pendedahan matahari selama 15 minit beberapa kali seminggu juga membantu tubuh menghasilkan vitamin D semula jadi.

Bukan pengganti gaya hidup sihat

Walaupun hasil kajian ini dianggap membanggakan, Manson menegaskan suplemen tidak boleh menggantikan gaya hidup sihat.

“Lebih mudah menelan pil, tetapi senaman, pemakanan sihat dan aktiviti luar tetap memberi kesan lebih besar untuk mencegah penyakit,” katanya.

Para penyelidik turut menekankan, kajian lanjutan masih diperlukan sebelum garis panduan rasmi vitamin D diubah.

“Kajian ini memberi harapan baharu, tetapi ia perlu disahkan dengan lebih banyak ujian klinikal sebelum kita boleh membuat saranan kepada orang ramai,” kata Prof. Manson. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram