[VIDEO] Botol susu anak jadi 'baton' kasih sayang rakyat Malaysia ketika Hari Kebangsaan


  • Bonda
  • Selasa, 02 Sep 2025

Sebotol susu berpindah tangan umpama baton, jadi simbol kasih sayang rakyat Malaysia pada Hari Kebangsaan 2025.

LAUTAN manusia yang berhimpun di perarakan Hari Kebangsaan 2025 bukan sahaja mempamerkan semangat patriotik, malah menjadi saksi kepada sebuah kisah kemanusiaan yang menyentuh hati.

Teriakan seorang anak kecil yang kelaparan akhirnya menimbulkan pengalaman luar biasa apabila sebotol susu bertukar tangan umpama baton, merentas ribuan pengunjung sebelum tiba ke pangkuan ibunya.

Seorang wanita, melalui perkongsian video di TikTok oleh @floriaretreatnicole8, menceritakan pengalaman luar biasa ketika beliau terpisah daripada pembantu rumahnya dalam lautan manusia yang sesak di perarakan tersebut.

BACA LAGI: Anak tolak makan sayur bukan tanda anda ibu bapa gagal, 5 cara reset semula selera si manja

BACA LAGI: [VIDEO] Gantung lukisan seperti pro, ikuti panduan hiasi dinding rumah bak galeri

Anaknya yang masih kecil tiba-tiba lapar dan mula menangis meminta susu.

Wanita itu hanya mampu memberikan isyarat tangan dari jauh kepada pembantu rumah yang berada di barisan belakang agar menghulurkan botol susu.

Namun, jarak yang memisahkan mereka membuatkan situasi itu tampak mustahil.

Dalam keresahan seorang ibu, sesuatu yang tidak disangka berlaku apabila orang ramai di sekeliling bertindak pantas seolah-olah sedang bermain baton dalam acara larian berganti.

Mereka bergilir-gilir menghulurkan botol susu sambil bersorak kecil dan ketawa menyebut 'susu', hingga akhirnya botol itu tiba dengan selamat ke tangan si ibu di barisan hadapan.

Momen itu bukan sahaja menyelamatkan tangisan seorang anak kecil, malah menghadirkan rasa kelegaan yang mendalam buat ibunya.

"Anak saya minum, matanya serta-merta bersinar seperti matahari kecil. Ketika itu, saya bukan sekadar tersentuh, tetapi benar-benar merasakan satu bentuk perlindungan yang tidak dapat dilihat orang luar, daripada tanah ini, daripada sesuatu yang dipanggil Malaysia yang penuh kelembutan," tulisnya dalam perkongsian video tersebut.

Peristiwa itu membuktikan bahawa semangat kebangsaan bukan hanya terletak pada perarakan ketenteraan atau persembahan kebudayaan, tetapi juga dalam nilai kemanusiaan dan tolong-menolong yang lahir secara spontan.

Bagi wanita tersebut, Hari Kebangsaan 2025 akan sentiasa diingati sebagai detik indah yang membalut hatinya dengan rasa syukur dan terharu, kerana rakyat Malaysia menunjukkan kasih sayang tanpa mengenal siapa.

"Hari ini bukan sekadar meriah, tetapi penuh kasih. Terima kasih, Malaysia."

Momen botol susu yang berpindah tangan itu menjadi simbol penuh makna tentang siapa kita sebagai rakyat Malaysia.

Ia menggambarkan bahawa di sebalik kepelbagaian bangsa, bahasa dan latar belakang, wujud satu rasa kekitaan yang mengikat kita bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram