Anak tolak makan sayur bukan tanda anda ibu bapa gagal, 5 cara reset semula selera si manja


  • Bonda
  • Selasa, 02 Sep 2025

Anak susah makan sayur bukan bermakna gagal, cuma perlu strategi bijak ubah selera mereka sedikit demi sedikit.

ISU anak yang tolak makan nasi atau sayur tetapi lebih cenderung kepada makanan segera seperti mi segera dan biskut bukanlah perkara asing dalam kalangan ibu bapa.

Situasi itu sering menimbulkan rasa kecewa hingga ada yang beranggapan diri mereka gagal sebagai ibu atau bapa.

Menurut perkongsian Masdi Hazli, kebimbangan itu wajar dilihat dari sudut berbeza.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami tunggu awak pulang', suami sokong perjuangan Ardell Aryana sejak bujang dalam misi kemanusiaan

BACA LAGI: Pentingnya proses pulihara bangunan kolonial supaya generasi akan datang terus hargai sejarah

Sebenarnya, anak bukan degil, sebaliknya otak dan lidah mereka telah lama dilatih untuk menyukai makanan manis, lembut, rangup serta segera.

Maka, sebarang percubaan memaksa mereka menerima lauk kampung atau sayur rebus secara drastik hanya akan menyebabkan penolakan lebih serius.

Masdi menekankan bahawa membentuk semula selera anak merupakan proses berperingkat yang memerlukan kesabaran, konsistensi serta strategi yang betul.

Beliau turut menggariskan lima kaedah praktikal yang boleh diaplikasikan oleh ibu bapa untuk memperkenalkan semula makanan sebenar (real food) kepada anak-anak.

Lima strategi membentuk semula selera anak:

1. Manfaatkan waktu anak paling lapar

Ketika pulang dari sekolah atau baru bangun tidur, tahap lapar anak berada pada tahap tertinggi. Inilah masa sesuai untuk memperkenalkan makanan berkhasiat seperti buah potong, telur rebus atau nasi panas. Menggantikan biskut atau snek pada waktu kritikal itu membantu otak anak lebih terbuka mencuba makanan baharu.

2. Variasikan persembahan hidangan

Anak-anak mudah tertarik dengan persembahan unik. Tanpa perlu memasak menu berbeza, ibu bapa boleh menyesuaikan saiz dan bentuk hidangan. Contohnya, nasi dibentuk bulat-bulat, sup dihidang dalam cawan kecil atau telur dipotong membentuk senyuman. Persembahan menarik menjadikan makanan lebih mesra kanak-kanak.

3. Beri perhatian pada tekstur

Ramai kanak-kanak bukan menolak sayur kerana rasanya, tetapi kerana teksturnya. Ibu bapa boleh mengubah tekstur sayuran dengan menggaringkannya, memotong kecil atau mengisarnya menjadi sup. Jika anak mampu mengunyah keropok, ini membuktikan tiada masalah gigi.

4. Utamakan konsistensi berbanding kesempurnaan

Perubahan tidak berlaku dalam sehari. Jika hari ini anak hanya mampu makan dua suap nasi, itu merupakan satu pencapaian. Esok boleh ditambah dengan sayur, minggu berikutnya dengan lauk. Apa yang penting ialah kesinambungan usaha, bukan perbandingan dengan anak orang lain.

5. Elakkan ugutan dan ganjaran berlebihan

Ugut seperti "kalau makan sayur, dapat coklat" memberi isyarat negatif kepada anak bahawa sayur adalah sesuatu yang tidak enak dan hanya boleh diterima dengan hadiah. Kaedah itu mengukuhkan lagi persepsi buruk terhadap makanan sihat.

Masdi menegaskan bahawa sikap memilih makanan atau 'picky eater' sering kali berpunca daripada kekeliruan dan bukannya kedegilan.

Dengan bimbingan tenang dan berperingkat, lidah serta tubuh anak boleh dibiasakan semula dengan makanan sebenar.

Selain faktor psikologi, masalah usus yang tidak sihat juga boleh menjadi punca tabiat pemakanan sebegini.

Oleh itu, penekanan terhadap kesihatan dalaman dan nutrisi seimbang perlu diberi perhatian.

Membentuk tabiat pemakanan anak bukanlah tentang mencapai kesempurnaan, sebaliknya membina asas kesihatan yang kukuh untuk masa depan mereka.

Dengan pendekatan yang betul, anak bukan sahaja mampu menerima makanan lebih sihat, malah dapat membesar dengan tubuh bertenaga dan minda cerdas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram