
DUNIA peragaan kini tidak lagi terhad kepada orang dewasa.
Semakin ramai kanak-kanak menunjukkan minat untuk menyertai industri tersebut, bukan sekadar untuk bergaya di pentas, tetapi juga untuk membina disiplin, keyakinan diri dan cara membawa diri dengan betul.
Model terkenal Amber Chia yang juga pengasas kepada sebuah akademi permodelan menekankan kepentingan latihan awal bagi junior model agar mereka mempunyai asas kukuh untuk terus berkembang dalam dunia peragaan.
BACA LAGI: Ibu cemas span mekap termasuk dalam hidung anak, rungkai 'misteri' bau busuk
BACA LAGI: [VIDEO] Elak lagu galau, rosak mood tetamu, Chef Zam tegur pemilihan muzik di majlis kahwin
Menurut Amber, kanak-kanak lebih berani mengekspresikan diri di pentas berbanding dewasa. — Gambar hiasan/Freepik
Beliau berkata, ketika memulakan akademi berkenaan16 tahun lepas, kelas pada awalnya hanya terbuka untuk peserta dewasa.
Namun, selepas menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa dan kanak-kanak yang berminat, Amber atau nama sebenarnya Chia Lee Peng membuka kelas bagi murid berumur empat hingga 12 tahun.
"Saya rasa sangat gembira apabila murid-murid kecil menunjukkan minat dan keberanian yang kadang-kadang lebih hebat daripada orang dewasa," katanya kepada Majoriti.
Murid-murid terlibat kata Amber, bukan sahaja belajar berjalan dan beraksi di pentas, malah turut membina keyakinan diri sejak usia muda.
Antara aspek utama latihan yang ditekankan ialah postur badan. Anak kelahiran Perak itu mendedahkan, ramai kanak-kanak dan orang dewasa mempunyai tabiat buruk seperti berjalan secara jengket, lutut bengkok atau kaki terbuka.
Menurutnya, jika tidak diperbetulkan sejak awal, tabiat itu boleh berterusan hingga dewasa. Melalui latihan, murid-murid diajar cara berjalan yang betul, menegakkan postur dan membawa diri dengan yakin.
"Apa yang saya ajar bukan hanya untuk menjadi model. Ia membantu mereka menjadi versi diri yang lebih baik," jelas Amber yang sudah berada dalam industri peragaan selama lebih 20 tahun.
Ibu kepada dua orang anak itu turut menyedari bahawa kanak-kanak lebih berani mengekspresikan diri di pentas kerana mereka kurang memikirkan pandangan orang lain, sekali gus membuatkan mereka kelihatan lebih bergaya berbanding sebahagian peserta dewasa.
"Kadang-kadang saya terkejut mereka boleh lakukan lebih baik daripada orang dewasa kerana mereka hanya berani dan berseronok setiap saat," tambahnya.
Bagi Amber, postur yang betul bukan sahaja menambah keyakinan, tetapi turut mencerminkan aura dan karisma seseorang di pentas, di hadapan kamera dan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman peribadi mengenai perubahan industri model. Lebih 25 tahun lalu, umum mengetahui tiada media sosial atau teknologi moden.
Model hanya perlu menguasai catwalk dan ekspresi wajah untuk pengiklanan. Kini, model perlu menguruskan imej dalam talian, membina pengaruh di media sosial dan sentiasa peka kepada trend industri.
Amber menekankan bahawa gabungan kemahiran offline dan online kini sangat penting untuk kekal relevan.
Selain itu, Amber menekankan kepentingan pertukaran ilmu antara generasi dalam industri.
"Kadang-kadang, junior tahu teknologi, trend dan aplikasi terkini. Senior pula ada pengalaman luas di pentas dan kamera.
"Apabila kita belajar antara satu sama lain, kedua-duanya boleh bertambah baik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram