
ISU penggunaan kad pengenalan (IC) anak oleh ibu bapa bagi tujuan mendapatkan bantuan kerajaan sekali lagi mencuri perhatian warganet.
Perkara itu didedahkan seorang juruwang, Syuhada Fadzil menerusi hantaran di Threads selepas seorang pelanggan gagal membuat bayaran menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) apabila baki akaunnya tinggal hanya 60 sen.
“Terus dia call mak dia. Rupanya, ibunya ambil IC dia senyap-senyap untuk beli barang dapur. Akhirnya, barang terpaksa ditinggalkan di kaunter. Kesian memang kesian, tapi barang itu tetap kena letak balik,” katanya.
BACA LAGI: Kasihan penerima STR bulanan kena 'berebut' tebus SARA gara-gara MyKasih offline
BACA LAGI: SARA: RM192.5 juta sudah ditebus, kerajaan jamin bekalan barangan tidak terputus
Pendedahan itu mencetuskan perbincangan hangat dengan ramai pengguna media sosial menyifatkan tindakan berkenaan tidak wajar kerana ia melibatkan hak individu, biarpun antara ibu bapa dan anak.
Seorang pengguna, Aida, menegaskan perkara itu juga boleh jatuh hukum haram.
“Haram guna hak orang lain walaupun anak sendiri. Ramai ustazah dah ingatkan perkara ini. Melainkan anak reda, kalau tidak, tetap salah," katanya.
Nur-Nadhirah Mohamed Razip pula berpendapat segelintir ibu bapa masih beranggapan hak anak adalah milik mereka.
“Orang sekarang mana peduli halal haram. Diorang ingat hak anak tu, hak mak bapak juga. Alasan mereka, sebab anak kena balas budi.”
Bagi pengguna lain, Arrose, beliau mempersoalkan mengapa ibu bapa perlu mengambil hak anak sedangkan bantuan SARA diberikan kerajaan kepada semua individu berusia 18 tahun ke atas.
“Itu hak dia, kenapa ambil juga hak anak?” katanya.
Turut berkongsi pengalaman, Mysara berkata, kes yang sama hampir berlaku kepada dirinya.
"Mak saya hampir-hampir nak guna Ic saya dah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram