'Asap rokok kena anak-anak saya', bapa pilih sabar hadap perokok melenting demi jadi contoh baik depan anak dan isteri


  • Bonda
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Seorang bapa menegur perokok di meja bersebelahan ketika berada di sebuah kedai makan demi melindungi kesihatan isteri dan anak-anaknya. — Gambar Hiasan

TINDAKAN seorang bapa menamatkan pertelingkahan dengan cara berhemah selepas menegur seorang perokok di kedai makan dipuji ramai kerana menjadi teladan baik di hadapan anak dan isteri.

Nasir Nasir Aripin dalam hantaran di Facebook berkongsi pengalamannya ketika makan bersama keluarga, namun terganggu apabila asap rokok dari meja bersebelahan menghala ke arah mereka.

Katanya, pada mulanya, teguran beliau diterima dengan permohonan maaf, tetapi suasana bertukar tegang apabila individu berkenaan tiba-tiba melenting lalu bertekak dengannya.

“Ketika itu saya sudah hilang sabar kerana asap rokok terkena anak-anak. Namun, selepas masuk ke dalam kereta, saya berfikir semula. Tidak wajar saya terus melayan perasaan marah di depan keluarga.

“Saya turun semula, hulurkan tangan dekat perokok tadi dan berkata, ‘Kita selesaikan di sini sahaja.’ Walaupun hati masih geram, saya pilih untuk akhiri dengan cara baik,” katanya.

BACA LAGI: 'Ibu bapa janganlah ambil kesempatan guna IC anak', wanita dedah kes pelanggan terkejut baki MySARA tinggal 60 sen, rupanya ibu guna senyap-senyap

BACA LAGI: [VIDEO] Fara Fauzana akhirnya tawan puncak Kinabalu selepas gagal tahun lalu, luah rasa syukur walau cuaca sewaktu turun agak mencabar

Nasir berkata, beliau tidak berniat memalukan mana-mana pihak, malah menegaskan perkongsian tersebut dibuat untuk memberi pengajaran kepada orang ramai agar lebih peka sebelum merokok di tempat awam.

“Lihat sekeliling, jika ada kanak-kanak atau keluarga lain, elakkan merokok. Hormati orang lain,” katanya.

Perkongsian itu segera menarik perhatian warganet yang rata-ratanya menyokong tindakan Nasir, malah ada yang berkongsi pengalaman sendiri.

Seorang pengguna, Amin Nordin Mohamed menyifatkan ada perokok yang tahu menjaga adab, tetapi tidak kurang juga yang cepat melenting apabila ditegur.

“Ada geng merokok yang faham... siap pergi jauh untuk hisap rokok. Saya respek. Tapi yang jenis tak faham, cepat koyak bila ditegur, memang tak patut,” katanya.

Bagi Mohd Firdaus, keberanian seorang bapa untuk menegur wajar dicontohi kerana tidak semua sanggup berbuat demikian di tempat awam.

“Steady. Respect kerana berani tegur. Ramai orang sebenarnya nak tegur, tapi tak semua ada kekuatan,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Fishbone Caltex yang juga seorang perokok berkata, beliau sendiri tidak gemar dengan sikap perokok yang tidak menghiraukan peraturan larangan merokok di tempat awam.

“Saya tak pernah merokok di kedai makan apatah lagi depan kanak-kanak. Kalau nak merokok, saya akan jalan jauh. 

"Di rumah pun saya tak merokok dalam rumah, saya keluar. Ini soal adab dan tanggungjawab,” katanya.

Pandangan sama dikongsi Zack Zam yang turut menegaskan bahawa perokok seharusnya lebih berdisiplin.

“Saya pun merokok, tapi jagalah adab kita di tempat orang ramai. Kalau nak merokok juga, pergi jauh sikit. Kalau di kedai makan yang ada keluarga bawa anak-anak, seeloknya tak payah merokok langsung,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram