
KEHILANGAN bayi dalam kandungan adalah pengalaman yang boleh mengganggu emosi mana-mana ibu, walaupun pemeriksaan kandungan dijalankan secara berkala.
Masih ramai ibu bapa tidak menyangka bahawa bayi yang mereka nanti-nantikan boleh meninggal dunia tanpa memberi sebarang tanda.
Kejadian tersebut sering menimbulkan kesedihan mendalam, rasa bersalah dan tekanan emosi.
BACA LAGI: [VIDEO] Konten 'real food' jadi signatur, Miyabell pengaruh bangsa lain nikmati petai dan tempoyak
Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi pengalaman kehilangan kandungan di TikTok selepas mendapati jantung bayi dalam kandungannya berhenti berdegup.
Lebih perih, itu merupakan kehilangan ketiganya.
Dalam hantaran yang dimuat naik pada Isnin lalu, beliau berkongsi bahawa beliau baru selesai berjumpa doktor untuk imbasan dan mendapati bayi telah berhenti berdegup dua minggu sebelum itu.
“Baru balik jumpa doktor untuk scan rupanya jantung awak dah berhenti berdegup dua minggu lepas. Mama tak perasan awak pergi sebab awak tak bagi apa-apa tanda. Jantung mama rasa macam luruh, perit rasa ditikam-tikam, tak percaya," luahnya.
Beliau menceritakan bahawa dirinya dan suaminya sangat teruja menunggu kelahiran bayi, namun mereka terkejut apabila mengetahui bayi meninggal dua minggu sebelum pemeriksaan terakhir.
“Mama ayah excited tunggu awak nak lahir rupanya dua minggu yang lepas mama tengok jantung awak masih berdegup. Awak pergi tinggalkan mama ayah sama macam kakak abang tinggalkan mama ayah tahun lepas," kata beliau.
Situasi tersebut boleh dikategorikan sebagai stillbirth atau kehilangan bayi dalam kandungan. Mungkin ramai masih keliru membezakan antara stillbirth dan keguguran janin.
Menurut Pegawai Perubatan di sebuah klinik swasta, Dr. Atiqah Shazwani Ahad, stillbirth berlaku selepas 20 minggu kehamilan atau sebaik lahir, manakala keguguran janin ialah kehamilan yang berakhir sendiri sebelum 20 minggu usia kandungan.
“Sukar sebenarnya untuk mengenal pasti punca kelahiran mati kecuali dilakukan autopsi ke atas bayi itu,” kata beliau kepada Majoriti.
Tambah Dr. Atiqah, antara faktor yang menyumbang termasuk masalah plasenta, jangkitan, kelainan kromosom atau tali pusat terbelit.
Sehubungan itu, para ibu digalakkan peka terhadap pergerakan bayi dalam kandungan.
Walaupun pergerakan bayi kadangkala perlahan, sekiranya ibu mendapati bayi tidak bergerak untuk tempoh yang lama, mereka seharusnya segera berjumpa doktor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram